Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Muhyiddin angkat sumpah kerana tidak mahu kerusi dikosongkan

Walaupun belum pulih seratus peratus selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen Pagoh, semalam kerana tidak mahu kerusinya dikosongkan.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, kerusi Parlimen Pagoh akan dikosongkan sekiranya beliau tidak mengangkat sumpah selama enam bulan.

"Saya hadir ke parlimen untuk membaca sumpah ikrar dan jawatan sebagai ahli parlimen.

"Alhamdulillah keadaan kesihatan saya semakin baik walaupun dalam peringkat proses pemulihan. Saya dinasihatkan doktor untuk mengambil masa bagi mengembalikan kekuatan.

"Saya hanya bercakap dengan perdana menteri kerana perkara ini penting saya perlu berada di sini kerana jika saya tidak di sini selama enam bulan maka kerusi saya akan kosong," kata Muhyiddin di lobi Parlimen hari ini.

Meskipun wajahnya nampak keletihan namun Muhyiddin yang bersongkok tetap tersenyum dan bersemangat hadir ke Parlimen.

Majlis mengangkat sumpah semalam dijalankan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad Ariff selepas itu mengalu-alukan kehadiran Muhyiddin dan mengucapkan tahniah atas kemenangan beliau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Beliau turut berharap Muhyiddin dapat memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah dengan berhujah secara baik, dalam usaha memastikan institusi Parlimen negara kekal disegani oleh setiap lapisan masyarakat.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bercuti sejak 12 Julai lepas bagi menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreas.

Beliau menjalani pembedahan itu di Singapura baru-baru ini dan dibenarkan keluar dari Hospital Mount Elizabeth pada 7 Ogos lepas.

Setiausaha Akhbarnya, Hafiz Abdul Halim sebelum ini dilaporkan berkata tahap kesihatan Muhyiddin semakin baik ketika ini dan beliau dijangka kembali bertugas serta menghadiri beberapa mesyuarat bermula minggu ini.

Muhyiddin dijangka menjalani rawatan susulan termasuk kimoterapi untuk tempoh enam bulan sebagai langkah memastikan masalah ketumbuhannya tidak berulang.

Lihat Komen
ADS