K’jaan komited laksana agenda ekonomi Bumiputera - Azmin
PARLIMEN l Kerajaan komited untuk bertindak lebih proaktif dengan memberi nafas baru dalam pelaksanaan agenda dan ekonomi Bumiputera di dalam negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata, tumpuan khusus akan diberikan kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau B40 dan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).
“Dalam hal ini, pelbagai dasar baharu yang sedia ada sedang dikaji dan akan ditambah baik berpandukan kepada keperluan semasa dan cabaran ekonomi dunia.
“Ini ialah bagi memastikan pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih mampan dan lestari dapat diwujudkan sekali gus meningkatkan keupayaan ekonomi Bumiputera untuk lebih berdaya saing,” kata Azmin ketika menjawab soalan ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, pada sesi pertanyaan jawapan lisan di Parlimen hari ini.
Jawapan beliau dibaca oleh Senator Mohd Radzi Md Jidin yang baru dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Sehubungan dengan, Mohamed Azmin berkata, pelaksanaan dasar baru yang sedia ada akan diterjemah di dalam strategi, inisiatif dan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang sedang dirangka kerajaan.
Menurutnya, hala tuju baharu ini akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober 2018 dan akan turut mengambil kira kepentingan Bumiputera, termasuk kumpulan B40 dan M40.
Mohamed Azmin juga berkata, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) akan diteruskan dengan penambahbaikan bagi memperkasakan lagi fungsi dan peranannya.
“Ini bagi memastikan pembangunan ekonomi Bumiputera dapat ditambahbaik dan diperkemaskan supaya lebih holistik dan tuntas agar penyertaan Bumiputera kekal signifikan dalam pembangunan ekonomi negara,” katanya.
- Bernama

