Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Kerajaan mengumumkan 3,407 individu berketurunan India berusia 60 tahun ke atas yang memegang status pemastautin tetap (PR) akan diiktiraf sebagai warganegara dan diberikan kad pengenalan biru.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pemberian itu berdasarkan janji manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-14 Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Perbincangan ini mengenai janji HARAPAN dalam manifesto untuk selesai masalah kaum india yang memegang kad pengenalan merah berjumlah 3,407 orang.

"Orang-orang yang berumur lebih 60 tahun kita akan terus beri kad pengenalan biru, (dan) iktiraf sebagai warganegara.

"Yang muda kalau ada asas, seperti anak yang lahir di Malaysia dan salah seorang ibu bapa itu orang Malaysia, (maka) berhak menjadi warganegara, yang ini untuk semua," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Malaysia di Parlimen, hari ini

Syarat lain perlu dipenuhi

Pada 28 April lalu, dalam kempen PRU ke-14 di Langkawi, Dr Mahathir berjanji untuk menyelesaikan masalah kaum India berhubung isu berkenaan.

Sementara itu ketika ditanya mengenai status terkini kesemua 3,407 individu berkenaan, Dr Mahathir berkata:

“Bukan senang mereka hendak mendapat kad pengenalan biru itu, mereka perlu ke Jabatan Pendaftaran negara untuk mengisi borang terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Dr Mahathir yang juga merupakan anggota parlimen Langkawi, syarat lain yang menjadi warganegara iaitu mempunyai kelulusan dalam ujian bahasa Melayu perlu dipenuhi.

Selain itu, katanya, mereka juga perlu berada di negara ini sekurang-kurangnya 12 tahun.

“Tetapi proses nak keluarkan kad biru ini mengambil masa sedikit, tetapi kita akan tunaikan janji kita yang memegang kad merah dan berumur 60 tahun ke atas layak diiktiraf sebagai warganegara,” katanya.

Lihat Komen
ADS