Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan Najib isu Melaka Gateway tak tepat, kata ketua menteri

Dakwaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa projek Melaka Gateway terus dilaksana dengan tidak mengalami apa-apa perubahan, adalah tidak tepat, kata Ketua Menteri Adly Zahari.

Beliau berkata demikian selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Melaka, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan terhadap projek tersebut untuk memastikan ia menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini, terdapat rancangan tanah di Melaka Gateway dipajak kepada syarikat asing, antara isu yang menjadi kebimbangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan rakyat secara amnya.

“Apabila kita ambil alih tanggungjawab kerajaan negeri ini, kita tidak membenarkan tanah di Melaka Gateway itu dipajak kepada syarikat asing.

“Kita telah melakukan banyak penambahbaikan... dari segi kepentingan rakyat dan Melaka itu sendiri, baru kita benarkan Melaka Gateway itu diteruskan.

“Sekarang beliau (Najib) menyebut projek itu, tetapi sebenarnya ia (dilaksanakan) pada zaman beliau berkuasa. Tugas kita sekarang memperbetulkan apa yang tidak betul oleh kerajaan terdahulu,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka hari ini.

Pada 6 Ogos lepas, Najib menerusi Facebooknya menyatakan rasa ‘pelik’ apabila ketua menteri Melaka dipetik sebagai berkata projek pelabuhan Melaka Gateway dan pelabuhan Kuala Linggi amat penting untuk pembangunan negeri.

Najib juga pelik projek yang dibuat semasa beliau menjadi perdana menteri dilabel sebagai ‘jual negara’ tetapi apabila dilaksana sekarang, ia menjadi projek penting yang boleh membawa Melaka kembali ke zaman kegemilangan Kesultanan Melaka walaupun projek itu tidak mengalami apa-apa perubahan dari segi skop projek atau pemegang saham.

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial bercampur seluas 246.4 hektar bernilai RM43 billion terdiri daripada tiga pulau baharu yang dijangka siap pada 2025.

Adly berkata kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak yang terlibat dengan Melaka Gateway untuk memastikan projek itu tidak tersasar daripada matlamat asasnya untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan.

“Buat masa ini, Pulau 1 (Melaka Gateway) bagi tujuan pelancongan dan pelancongan maritim diteruskan. Tumpuan kita supaya Melaka Gateway menjadi aset pelancongan kerajaan negeri pada masa akan datang,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS