Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH: Ahli disiasat SPRM perlu bercuti
Diterbitkan:  Aug 14, 2018 11:38 PM
Dikemaskini: 3:47 PM

Mana-mana anggota Parti Amanah Negara (AMANAH) yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil cuti atau direhatkan daripada tugas, kata Naib Ketua Pemudanya, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Shazni mengulas laporan mengenai siasatan yang dijalankan SPRM terhadap seorang pegawai kanan kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang juga merupakan presiden AMANAH.

"Sebagai sebuah parti yang menjunjung tinggi nilai integriti, Pemuda AMANAH melihat isu ini sebagai amat serius dan perlu pada tindakan segera.

"Sedari awal, AMANAH - dengan tujuan dan semangat penubuhannya - tak wajar terpalit dengan mana-mana siasatan kes melibatkan SPRM," tegas Shazni dalam kenyataan media.

Katanya walaupun memahami prinsip seseorang 'tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah', Pemuda AMANAH tetap menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang masalah yang boleh menjejaskan integriti parti.

"Dengan seluruh maksud baik ini, Pemuda AMANAH menggesa agar mana-mana anggota parti yang disiasat dengan terhormatnya 'take a leave of absence' atau dibuat satu ketetapan oleh parti untuk direhatkan daripada tugas sepanjang proses siasatan.

"AMANAH perlu tegar; bukan hanya bersikap amanah, tapi benar-benar dilihat amanah," kata Shazni.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat salah seorang pegawai kanan Mohamad atas tuduhan menerima lebih RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantu menyelesaikan hutang bagi membebaskannya daripada status muflis.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa suspek diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi kira-kira empat tahun lalu dan masih berstatus bankrap sehingga akhir Mei tahun ini.

Lihat Komen
ADS