Simpan roti berhampiran tandas, kilang diarah tutup 2 minggu
Gara-gara meletakkan roti yang baharu siap dibakar berhampiran tandas, sebuah kilang di sini diarah tutup selama 14 hari mulai semalam.
Tindakan yang dianggap jijik itu dikesan dalam Operasi Premis Makanan Tidak Suci peringkat negeri 2018 oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Perak di kawasan Perindustrian Pengkalan Pegoh .
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia A Sivanesan berkata arahan pemberhentian sementara operasi itu juga dibuat kerana kilang berkenaan didapati kotor dan tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
"Semasa pemeriksaan pemilik premis cuba mengelirukan pegawai kesihatan dengan mengatakan mereka telah mengikut piawan halal (termasuk aspek kebersihan) yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Negeri Perak (JAIPk)," katanya kepada pemberita selepas operasi.
Sehubungan itu, Sivanesan menyarankan agar Jabatan Kesihatan negeri dan JAIPk agresif melakukan pemeriksaan premis makanan secara bersama di masa hadapan.
"Jabatan Kesihatan negeri dan JAIPk sudah ada memorandum persefahaman berkaitan pengeluaran sijil halal, pengusaha premis perlu dapat kelulusan daripada Jabatan Kesihatan dahulu sebelum sijil halal dikeluarkan.
Mengulas lanjut, Sivanesan berkata 12 daripada 223 kilang makanan di Daerah Kinta diperiksa semalam dan daripada jumlah itu lima premis makanan diberi notis perintah hadir ke mahkamah dan satu diarahkan tutup dua minggu.
Antara kesalahan yang dikenal pasti semasa pemeriksaan adalah pengendali makanan tidak menghadiri kursus pengendalian makanan, makanan diurung serangga perosak dan pakaian pengendali makanan tidak dipakai dengan betul, katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini sebanyak 164 kilang makanan diperiksa dan 11 daripadanya diarah tutup, manakala 14 notis yang boleh dikompaun mengikut Seksyen 32B dikeluarkan bernilai RM18,650.
- Bernama

