Bilqis Hijjas, seorang guru tarian kekal dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini daripada pertuduhan menghina atas dakwaan melepaskan tujuh belon kuning dalam satu majlis yang dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, tiga tahun lalu.

Ini berikutan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiza Rajuni selaku perayu menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret pada 27 Nov 2017, yang melepas dan membebaskan Bilqis.

"Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk mendengar rayuan pihak pendakwaan, namun terdapat perkembangan baharu iaitu pihak perayu tidak berhasrat untuk meneruskan rayuan.

"Oleh itu, saya mohon supaya rayuan ditarik balik," kata Nur Hafiza ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Mahkamah kemudiannya membatalkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 1 Julai 2016, Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan Bilqis, 39, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan berkelakuan menghina dengan melepaskan belon pada majlis yang dihadiri Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Bilqis di akhir kes pendakwaan.

Namun Mahkamah Tinggi pada 3 Okt 2016 membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret itu dan memerintahkan pengarah tari itu membela diri atas pertuduhan tersebut setelah berpendapat Mahkamah Majistret telah terkhilaf dalam membuat keputusan tersebut.

Bagaimanapun Mahkamah Majistret itu sekali lagi melepaskan Bilqis daripada pertuduhan berkenaan di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Bilqis, anak perempuan arkitek terkenal tanah air Hijjas Kasturi didakwa berkelakuan dengan cara menghina bertujuan membangkitkan kemarahan yang mungkin menyebabkan keamanan terganggu di pusat beli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang di Kuala Lumpur, pada 3.15 petang, 31 Ogos 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100, jika sabit kesalahan.

Pada Hari Kebangsaan 31 Ogos 2015, tujuh belon kuning dilepaskan dari tingkat lima di pusat beli-belah itu sewaktu Najib dan Rosmah menonton persembahan tarian pembukaan acara DiverseCity 2015: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur.

Belon-belon kuning yang dilepaskan itu antaranya tertera perkataan 'Democracy', 'Free media' dan 'Justice' berwarna hitam telah jatuh ke belakang skrin di aras dua.

Sementara itu, Bilqis, yang diwakili peguam Eric Paulsen ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau berasa lega dan gembira dengan keputusan hari ini.

"Saya rasa lega dengan keputusan hari ini dan apa yang paling menggembirakan ialah apabila keputusan itu dibuat di saat kita akan menyambut Hari Kemerdekaan," katanya yang ditemani anggota keluarganya.