Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sesetengah menteri sekarang dilihat belum bersedia menjalankan tugas yang diberikan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Katanya pada ketika tertentu ada antara menteri terbabit terpaksa meminta maaf atas kenyataan yang dikeluarkan.

Menurut Mohd Amar walaupun meminta maaf itu amalan yang baik namun dari sisi lain ia menunjukkan bahawa menteri terbabit tidak bersedia memikul tugas yang diberikan.

"Dan kita (nampak macam) tidak study (kaji) betul-betul isu atau subjek yang kita tangani," katanya kepada media di Kota Bharu selepas mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar tidak memetik mana-mana nama semasa membuat kenyataan tersebut namun ada kemungkinan ia ditujukan kepada bekas anggota Jawatankuasa Pusat AS dan kini naib presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Pada 13 Ogos lalu Mujahid meminta maaf kerana secara tidak sengaja mengeluarkan kenyataan mengenai isu transgender yang boleh mengelirukan orang ramai.

Untuk rekod Mujahid ialah anggota parlimen Parit Buntar yang dilantik menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mengelola hal ehwal Islam.

Kasihan berjanji dengan mudah

Kata Mohd Amar kebanyakan menteri yang berkhidmat di bawah kepimpimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat "bergelut" menjalankan tugas-tugas mereka.

"Corak pentadbiran kerajaan persekutuan pada pandangan saya, kebanyakan menterinya strunggling (bergelut) untuk menjadi menteri, mungkin (sebab) mereka tak ada background (latar belakang berkaitan).

"Kita tengok strungling dari segi bagi kenyataan dan cara dia jawab soalan, menangani isu-isu (semasa)," katanya.

Justeru Mohd Amar berharap menteri terbabit dapat mengatasi masalah berkenaan dengan segera.

Katanya ia adalah proses pembelajaran yang panjang.

Sementara itu, anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor berkenaan turut mengkritik kegagalan Pakatan Harapan (HARAPAN) menunaikan 10 janji 100 hari yang dinyatakan dalam manifesto mereka.

Setakat ini kata Mohd Amar, HARAPAN gagal menunaikan janji-janji utama kepada rakyat seperti menghapuskan tol, menurunkan harga minyak dan menghapusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

"Janji senang diucapkan tapi sukar untuk dilaksanakan, dan kita kesian kepada orang yang memberi janji tanpa kajian dan maklumat yang jelas.

"Mungkin mereka tiada pengalaman menjadi sebuah kerajaan sebelum ini, jadi mereka tak tahu selok-belok dan kaedah-kaedahnya.

"Mereka ingat benda ini terlalu simple (mudah) dilaksanakan.

"Hari ini jadi kerajaan, esok terus boleh laksanakan, sedangkan dalam kerajaan ada prosedur, peraturan dan aspek-aspek lain yang perlu diambil kira," jelas Mohd Amar.

Lihat Komen
ADS