Paling Popular
Terkini

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhak untuk menyuarakan pandangannya kerana beliau masih seorang anggota parlimen, kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

"Dia tiada jawatan lagi tetapi tetap boleh komen dan beri pandangan kerana dia masih MP Pekan.

"Saya tak pertahankan sesiapa (tapi) dia bertanding dan tetap seorang MP. Jadi dia berhak bersuara dan kita tiada hak untuk menghalangnya," kata anggota parlimen Gua Musang itu kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau mengulas tindakan bekas menteri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang menggesa Najib menjarakkan diri daripada Umno dan memberi ruang kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengemudi parti itu.

Walaupun telah meletakkan jawatan dalam parti, Najib terus menjadi perhatian media dengan kenyataannya berkenaan keputusan dan dasar kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang menyangkal pandangan bahawa Najib kini menjadi beban kepada Umno.

"Mengapa dia jadi beban? Kerana persepsi orang bahawa dia terlibat (dalam skandal), segala macam tuduhan.

"Persepsi dan tuduhan ini belum dibuktikan sama ada betul atau tidak," katanya kepada pemberita.

Beberapa pemimpin Umno sebelum ini cuba menjarakkan parti itu dengan Najib - bekas presidennya - selepas beliau didakwa dengan tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Lihat Komen
ADS