Bela diri atau bebas, nasib 2 tertuduh bunuh Jong Nam diketahui esok
Nasib warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong akan diketahui esok sama ada mereka akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam tahun lepas.
Kes pembunuhan berprofil tinggi itu mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan asing kerana mangsa ialah abang Presiden Korea Utara Kim Jong-un, yang mati selepas disapu racun saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), sewaktu hendak transit ke Macau.
Sekiranya keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azmi Ariffin memihak kepada kes pihak pendakwaan, yang berpendapat wujud prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, mereka akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya kedua-dua wanita itu akan dilepas dan dibebaskan.
Malaysia ialah negara kedua yang terlibat dengan serangan ejen saraf VX, selepas serangan pertama berlaku di Osaka, Jepun pada 1994, apabila bahan kimia itu disembur pada leher mangsa. Racun ejen saraf VX adalah senjata kimia yang paling berbahaya.

Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas klia2 pada 9 pagi, 13 Feb, 2017.
Dakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah dan peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Doan yakin anak guam mereka akan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan membunuh Kim Chol.
"Berdasarkan keterangan yang sedia ada di mahkamah kami yakin Siti Aisyah akan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," kata Gooi.
"Kami yakin keadilan akan ditegakkan esok dan Doan akan dibebaskan. Tidak boleh katakan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan keterangan kukuh untuk membuktikan wujud kes prima facie," kata Hisyam.
'Siti Aishah, Doa pembunuh terlatih'
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata pihak pendakwaan berharap keputusan akan memihak kepada mereka kerana pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang kukuh pada perbicaraan yang berlangsung selama 39 hari bermula 2 Oktober 2017.
Semasa hujahan di akhir kes pendakwaan, Wan Shaharuddin berkata Siti Aishah dan Doan yang didakwa membunuh Kim Chol itu merupakan pembunuh terlatih kerana mereka telah mengenal pasti sasaran mereka dan secara teliti merancang dan melaksanakan misi itu.
Beliau berkata, kedua-dua wanita itu juga telah menyerang Kim Chol dengan satu bahan berbahaya yang kebarangkalian kematian adalah tinggi dan peluang untuk selamat amat kecil.
Ketika perbicaraan kes itu, Ketua Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Shah Mahmood yang juga saksi keenam, berkata harapan untuk hidup bagi seseorang individu yang terkena racun VX adalah tipis kerana ia sangat bertoksik dan menyebabkan komplikasi dengan cepat.
Sebanyak 34 saksi pihak pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan sebanyak 236 barang bukti dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan yang mengambil masa tujuh bulan.
-Bernama

