Carutan Bung Moktar dibahas di parlimen esok
Usul yang mencadangkan agar Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan dibahaskan di Dewan Rakyat esok.
Berdasarkan notis parlimen yang diserahkan kepada anggota parlimen malam ini, ia adalah susulan tindakan Bung Moktar mengeluarkan perkataan biadab di Dewan Rakyat sebelum ini.
Usul itu dibentangkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin yang menyifatkan tindakan Bung Moktar menyinggung terutamanya anggota parlimen wanita dan mencemar nama baik Dewan Rakyat.
Meskipun notis itu tidak menyebutkan secara spesifik tindakan Bung Moktar, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan carutan yang diucapkan oleh anggota parlimen itu di Dewan Rakyat 7 Ogos lalu ketika membahaskan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018.
Timbalan Pengerusi Umno Sabah itu yang dikenali dengan kenyataan kontroversial, mencarut "f*** you" dua kali selepas Willie Mongin (HARAPAN- Puncak Borneo) mencelah.
Episod kekecohan berkenaan bermula sewaktu Bung Moktar bangkit mencelah Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang baharu memulakan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan 2018.
Beliau menjelaskan mengenai harga barangan di Pasar Borong Selayang yang menurutnya lebih murah sewaktu dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum diganggu Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) yang bertanya "bukan kasino ke?".
Bung Moktar yang tidak berpuas hati dengan soalan berkenaan meminta Willie menarik balik kenyataannya serta menyifatkan beliau tidak layak untuk berada di dalam Dewan Rakyat.
“Biadap. Ini kurang ajar, tarik balik, Yang Berhormat tidak layak duduk sini, samseng. What you want? You nak gaduh dengan saya? f*** you! kau salah orang,” katanya.
Bung Moktar sudah menarik balik kenyataannya, namun menerima surat amaran terakhir daripada Speaker Datuk Mohamad Ariff Yusof.

