SEDIC, KDN akan selesaikan isu individu tidak bernegara
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang kini menyelia Unit Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) sedang berusaha dengan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu individu tidak bernegara untuk mendapatkan kerakyatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P Waytha Moorthy dalam satu kenyataansemalam berkata jabatan itu menyasarkan untuk memudahkan proses mendapatkan kerakyatan kepada mereka yang benar-benar tidak diberi peluang kerana keadaan dan peraturan jumud kerajaan sebelum ini.
“Satu pendekatan yang adil dan saksama di bawah kerajaan baharu, tanpa diragui akan meningkatkan kebajikan sosial mereka terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan membenarkan mereka maju seiring dengan kemajuan negara.
"Saya yakin kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad akan berusaha untuk mengurangkan penderitaan yang dialami mereka yang tidak bernegara dan tidak berdokumen.
“Sungguh menggembirakan apabila mengetahui perdana menteri memahami kesusahan dihadapi individu berkenaan dan telah mengarahkan pemastautin tetap berusia lebih 60 tahun ke atas dengan MyKad merah dan anak-anak mereka di bawah umur 60 tahun yang seorang daripada ibu bapa mereka warga negara Malaysia diberi taraf kerakyatan,” katanya.
Kelmarin, Dr Mahathir mengumumkan pemastautin tetap yang memegang kad pengenalan merah berusia 60 tahun dan ke atas akan diberi kerakyatan dan diberikan kad pengenalan biru.
Ini termasuk 3,407 kaum India berusia 60 tahun dan ke atas dan memegang kad pengenalan merah yang akan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.
Waytha Moorthy berkata Dr Mahathir sendiri juga memberi jaminan untuk mencari penyelesaian yang kekal dan menyeluruh kepada isu ini, semasa bertemu dengan pengundi India di Langkawi semasa pilihan raya umum lepas.
Beliau berkata ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada mereka yang berkenaan tetapi juga kanak-kanak yang menghadapi masalah kerana tidak mendapat kerakyatan.
“Kerajaan juga sedang menumpukan aspek lain yang mungkin menyumbang kepada status tidak bernegara seperti masalah dokumen, kemiskinan, kelahiran di rumah, kanak-kanak yang ditinggalkan, mengambil anak angkat dilahirkan di Malaysia, pernikahan tidak didaftarkan, kejahilan, tidak ambil peduli dan takut kepada pihak berkuasa.
Sepuluh kategori berbeza berdasarkan perkara di atas sudah saya saya majukan kepada Perdana Menteri dan dipanjangkan kepada Kementerian Dalam Negeri dengan syor penyelesaian dalam lingkungan undang-undang. Ia hanya memerlukan perubahan polisi dan langkah-langkah mesra rakyat daripada kementerian.
Individu yang menghadapi kesukaran mendapatkan kerakyatan kerana pelbagai faktor boleh mendapatkan bantuan daripada SEDIC dengan menghubungi pegawai SEDIC Elayyaraja Krishnan atau Nor Atiqah Sani di talian 03-88866076 dan 03-88866115 pada waktu pejabat.
UNHCR sokong
Sementara itu, keputusan Malaysia memberikan taraf kewarganegaraan kepada orang tidak bernegara adalah langkah positif yang diambil oleh kerajaan kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk mengambil bahagian sepenuhnya dalam pembentukan masyarakat Malaysia.
Wakil Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Richard Towle dalam satu kenyataan semalam berkata Agensi Pelarian PBB mengalu-alukan pengumuman oleh kerajaan Malaysia semalam untuk mempercepatkan pemberian taraf warganegara kepada semua individu tidak bernegara yang layak di negara ini.
Beliau berkata kerajaan telah mengambil langkah untuk memenuhi komitmennya menyelesaikan isu orang tidak bernegara di kalangan masyarakat India dalam masa 100 hari kerajaan baharu memegang tampuk kuasa.
“Orang tidak bernegara mempunyai akses terhad kepada hak-hak asas seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan dan kebebasan bergerak. Tanpa hak-hak ini, mereka menghadapi halangan seumur hidup,” kata beliau.
- Bernama

