Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Azizah: Isu kahwin kanak-kanak libatkan pendidikan seks

PARLIMEN | Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berpendapat, isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur bukan sahaja melibatkan masalah perundangan.

Namun, apa yang penting ketika ini juga ialah memberi kesedaran pendidikan termasuk pendidikan seks bukan sahaja terhadap kanak-kanak tetapi ibu-bapa mereka, ujarnya.

"Kita memang nak had umur minimum (perkahwinan) 18 tahun. Tapi apa yang perlu dilakukan, bukan sahaja perundangan tetapi pendidikan terhadap kanak-kanak dan ibu-bapa juga penting.

"Pendidikan seks sekarang ini ada kelompongan dan ia tidak menangani masalah yang sebenar. Jadi sekarang ini, pendidikan seks terhadap kanak-kanak perempuan ini (perlu) supaya mereka tahu apa yang boleh diketengah dan boleh dikekang jika (mereka) tahu keburukan tentang perkara ini," katanya di dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dr Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) yang menggesa kerajaan mempercepatkan rang undang-undang umur minimum perkahwinan kanak-kanak untuk dibawa ke parlimen.

Selain itu, ketika menjawab soalan Maria Chin Abdullah (HARAPAN- Petaling Jaya) pula, anggota parlimen Pandan itu memberitahu, salah satu ciri yang melibatkan perkahwinan bawah umur ialah mereka yang terdiri daripada latar belakang keluarga yang berpendidikan rendah serta berpendapatan rendah.

Hak reproduktif, penyakit STD

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan pastikan agar kesedaran terhadap ibu bapa dan masyarakat akan dipertingkatkan tentang kesan negatif perkahwinan kanak-kanak.

"Salah satu ciri perkahwinan bawah umur di negara ini adalah mereka dari latar belakang keluarga yang bukan sahaja berpendidikan rendah tapi juga berpendapatan rendah.

"Kerajaan akan pastikan kerjasama erat antara agensi berkaitan untuk membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf pendidikan dan taraf hidup komuniti luar bandar dan memberi peluang pemerkasaan ekonomi untuk memastikan keluarga tidak memilih mengahwinkan anak-anak mereka bagi meringankan beban keluarga.

"Berdasarkan kepada tinjauan ringkas berhubung dengan perkahwinan kanak-kanak yang telah dijalankan oleh UNICEF pada tahun ini, fokus yang perlu diutamakan adalah meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat terhadap kesan negatif perkahwinan kanak-kanak.

"Perkahwinan pada usia yang muda menafikan hak kesihatan, pendidikan, keselamatan dan perkembangan diri mereka," ujarnya lagi.

Justeru, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan pihak yang berkaitan telah melaksanakan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang merupakan pelajaran tambahan terhadap apa yang diajar di sekolah.

"Melalui program ini, kanak-kanak terutamanya kanak-kanak perempuan akan lebih memahami hak reproduktif masing-masing lalu tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral yang boleh menyebabkan dijangkiti penyakit-penyakit STD (penyakit jangkitan seksual) seperti HIV/ AIDS," katanya.

Lihat Komen
ADS