'Kerajaan kena buktikan jet Jho Low dibeli dengan dana Malaysia dulu'
Kerajaan perlu membuktikan jet Jho Low dibeli menggunakan dana Malaysia terlebih dahulu sebelum dapat membawa balik ke negara ini.
“Kita akan cuba dapatkan balik (jet itu). Kita percaya jet itu dibeli menggunakan wang curi dari Malaysia.
“Kita perlukan buktikan wang digunakan untuk beli jet itu adalah wang curi, kerana (Jho Low) curi wang dari Malaysia.
“Jadi jet itu milik Malaysia, sama seperti bot (Equanimity),” kata Tun Dr Mahthir Mohamad.
Perdana menteri berkata demikian selepas menjawab soalan pemberita di Putrajaya berkaitan usaha membawa balik jet berkaitan dari Singapura.
Pada 12 Ogos lalu, Mahathir berkata jet persendirian itu perlu dibawa balik ke negara ini.
Bagaimanapun ketika itu, katanya, beliau kurang tahu butiran terhadap usaha membawa jet tersebut yang kini ditahan di Singapura.
Singapura dilaporkan merampas jet Bombardier Global 5000 berharga AS$ 5 juta pada Februari lalu.
Selain Equanimity, jet itu antara aset yang dikehendaki Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada saman pelucuthakan sivil mereka.
DOJ mendakwa aset tersebut dibeli dengan menggunakan dana 1MDB.

