Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu pegawai Mat Sabu: 'Saya dah dengar kedua-dua pihak'
Diterbitkan:  Aug 16, 2018 2:54 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata beliau telah mendengar penjelasan kedua-dua pihak dalam dakwaan kes rasuah melibatkan seorang pegawai kanan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong yang berkata Rafizi patut mendapatkan penjelasan dahulu sebelum menyerang pegawai itu.

“Saya setuju dengan Liew jika dia kata kita patut berhubung untuk dapatkan lebih banyak maklumat. Tetapi saya tidak setuju jika ia dilakukan dengan tujuan menutup isu itu.

“Seperti saya kata, saya tidak percaya kenyataan saya tidak adil terhadap pihak tertuduh kerana saya telah mendengar kedua-dua belah pihak.

“Kecuali saya diharapkan untuk menerima dakwaan bahawa dia berjaya dapatkan RM800,000 dalam tempoh dua hari melalui pembiayaan khalayak,” katanya kepada Malaysiakini.

Liew hari ini berkata Rafizi boleh saja menelefon Mohamad, pembantu kanan itu, malah dirinya sendiri untuk bertanya tentang perkara itu.

Mendakwa kenal pembantu itu selama enam tahun, pernah bekerja rapat dan tahu apa yang berlaku, Liew berkata dia mendapat pinjaman dari keluarga dan kawan untuk membayar hutang agar boleh dilantik sebagai pegawai kementerian.

Rafizi semalam berkata jumlah wang yang diterima untuk membebaskannya daripada status muflis diperoleh melalui biaya khalayak adalah sukar diterima.

Katanya, seorang lagi pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang lebih terkenal masih belum berjaya mengumpul dana mencukupi untuk membayar saman.

Sementara itu, Rafizi berkata beliau telah berfikir masak-masak, sama seperti ketika membuat kenyataan berkaitan isu-isu berkaitan ahli politik BN.

“Renungkanlah jika kes ini melibatkan pembantu menteri BN dan kita diberitahu dia kumpulan sejumlah wang dalam tempoh dua hari selepas menteri angkat sumpah.

“Saya tidak mahu jatuh ke dalam perangkap BN, berdiam diri ketika saya tahu sesuatu perkara dan kemudian bila ia meletup, cakap saya patut luahkannya lebih awal,” katanya.

Rafizi menegaskan “sistem korup” yang diwarisi amat berbahaya dan kerana itu beliau pernah mendesak ke arah pengisytiharan harta kepada awam.

“Perkara itu tidak patut terbatas kepada menteri, wakil rakyat, tetapi juga pembantu dan pegawai mereka.” katanya.

Malaysiakini semalam mendedahkan pegawai itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan menerima wang untuk menyelesaikan hutang.

SPRM menyiasat sama ada hutang itu diselesaikan dengan niat mendapatkan projek sebagai balasan, kata sumber.

Mohamad mengalu-alukan siasatan SPRM dan menegaskan tidak akan berkompromi dalam soal integriti.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS