Remaja tendang kucing diperintah berkelakuan baik
Seorang remaja bawah umur dikenakan bon berkelakuan baik selama satu tahun tanpa cagaran oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menendang seekor kucing berusia sebulan, Mac lalu.
Majistret Che Rohana Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap remaja perempuan terbabit selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan itu, dalam satu prosiding yang dijalankan secara tertutup hari ini.
Mengikut pertuduhan, remaja berusia 16 tahun itu didakwa menendang kucing yang diberi nama ‘Mimi itu tanpa sebab yang munasabah di belakang kedai perabot, Lorong Seri Menerong 4, Taman Seri Menerong, Tasek Gelugor pada jam 1 tengah hari, 4 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (semakan 2006) (Akta 647), bagaimanapun dikenakan hukuman mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 601) kerana masih di bawah umur.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohd Zamri Ishak.
Perbuatan remaja terbabit yang menyepak kucing itu sehingga jatuh ke dalam longkang tular di laman sosial. Kucing tersebut yang kini berusia enam bulan berada di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
- Bernama

