Orang ramai di negeri ini dinasihat mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah serta menjaga keselamatan masing-masing sepanjang menghadapi jerebu berikutan kebakaran hutan dan ladang di beberapa kawasan di Kalimantan Barat, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah Ooi Tze Min berkata ini kerana jerebu yang melanda negeri ini sejak semalam itu boleh menjejaskan kesihatan mereka terutamanya golongan kanak-kanak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman diAlor Setar hari ini.

Setakat 4 petang ini Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar menunjukkan bacaan tidak sihat di Alor Setar.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sentiasa komited memantau bacaan IPU terkini supaya dapat memastikan keselamatan orang awam sentiasa terjaga dan diberikan keutamaan.

"Orang ramai disarankan mengamalkan etika kebersihan dengan mencuci tangan secara sempurna dan muka apabila keluar dari rumah, minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari, sentiasa memakai penutup muka.

Memastikan udara di dalam rumah sentiasa bersih dan bebas dari sebarang pencemaran asap rokok mahupun pencemaran seperti asap kebakaran dan gunakan mod pendingin hawa ketika memandu," katanya,” katanya.

- Bernama