Berita Malaysiakini

Kahwin kanak-kanak: Polis sahkan serah kertas siasatan pada AG

Hafiz Yatim  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Polis hari ini mengesahkan telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan lelaki 41 tahun kepada pejabat peguam negara.

Perkara itu disahkan Ketua Unit Jenayah Seksual Kanak-Kanak Bukit Aman DSP Saroja Egamparam dalam satu forum berhubung jenayah seksual kank-kanak hari ini. Unit itu sebahagian daripada Jabatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak.

Saroja ditanya berhubung status siasatan kes tersebut. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut tentang perkara itu.

Isnin lalu, Peguam Negara Tommy Thomas berkata pihaknya telah menerima kertas siasatan itu.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said yang turut menjadi panel di forum itu berkata, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap lelaki itu bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Katanya, undang-undang semasa meadai untuk menangani perkara itu dan menghukum pesalah.

Dalam pada itu, Saroja berkata 80 peratus daripada kes pencabulan seksual kanak-kanak melibatkan sumbang muhram dan ia menimbulkan sedikit masalah.

Beliau mengakui kadar sabitan bersalah untuk kes seumpama itu rendah dan ia disebabkan pelbagai faktor, antaranya bila kes itu dibawa ke mahkamah dan tekanan pihak keluarga terhadap mangsa.

Wakil Unicef Malaysia Marianne Clark-Hattingh berkata, ia bukan saja menjadi masalah di negara ini tetapi di seluruh dunia.

[Baca berita asal]