Jumlah kos RM400 bilion dinilai oleh k’jaan BN - Pua
Kos yang perlu ditanggung kerajaan susulan penghapusan kutipan tol lebuh raya akan menjadi jauh lebih rendah berbanding RM400 bilion seperti yang dinilaikan kerajaan sebelum ini, kata Penasihat Khas Menteri Kewangan, Tony Pua.
Beliau berkata, ini kerana, angka RM400 bilion itu merupakan nilai yang dijumlahkan oleh kerajaan terdahulu, yang mengambil kira pampasan kepada pihak konsesi lebuh raya termasuk keuntungan pada masa depan.
Sekiranya kerajaan pimpinan Pakatan Harapan berhasrat mengambil alih konsesi lebuh raya, walaupun kerajaan tidak merancang berbuat demikian pada masa ini, kos terbabit hanya akan mengambil kira pampasan mengikut kadar yang tertakluk dalam kontrak, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
“Kita hanya akan membayar pampasan mengikut kadar yang tertakluk dalam kontrak, iaitu kos pembinaan lebuh raya. Kita perlu kira semula, dan ia tidak akan termasuk keuntungan masa depan,” katanya.
Sementara itu, portal Utusan Malaysia melaporkan Menteri Kerja Raya, Baru Bian mengakui nilai pampasan tol sebanyak RM400 bilion yang dibacakan beliau dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, Isnin lalu adalah berdasarkan laporan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang disediakan di bawah pentadbiran kerajaan BN dahulu.
Beliau berkata, nilai pampasan itu termasuk beberapa perkara seperti bayaran faedah.
“Ya, RM400 bilion itu merujuk daripada Pemandu. Tapi kalau beliau (Tony Pua) berkata begitu mesti ada asas.
“Saya tidak dapat menafikan atau mengatakan kenyataan itu salah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Tony yang juga pegawai khas kepada Menteri Kewangan menyatakan nilai pampasan bagi pemansuhan tol tidak akan mencecah RM400 bilion, berbeza dengan apa yang didakwa beberapa menteri Kabinet kerajaan HARAPAN sebelum ini.

