Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa akan bersara pada 29 Ogos, lapor The Star hari ini.

Ini walaupun ada cadangan untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengekalkan pegawai tertinggi berusia 63 tahun itu sehingga akhir tahun ini.

Mengutip sumber di pejabat KSN, laporan itu menyebut hari terakhir Ali ialah pada 29 Ogos.

Satu lagi sumber di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kontrak Ali tidak akan diperbaharui.

"Pentadbiran terdahulu yang menyambung kontraknya," kata satu sumber.

Ekoran itu, timbul pelbagai desas-desus di Putrajaya mengenai penggantinya, kata laporan itu.

Beberapa pegawai kanan kerajaan berkata KSN terdahulu dipilih dari kalangan ketua setiausaha kanan kementerian atau ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagaimanapun, Parlimen akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas mengenai pelantikan pegawai tertinggi, sejajar dengan manifesto Pakatan Harapan.

Dilaporkan pada bulan Jun bahawa bekas ketua pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed disebut mungkin menggantikan Ali.

Abu Kassim pada 1 Jun lalu dilantik mengetuai Pusat Urus Tadbir, Integriti dan Pencegahan Rasuah (GIACC) untuk merangka dasar-dasar pembaharuan anti-rasuah dalam perkhidmatan awam.

[Baca berita penuh]