Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Definisi semula pengertian tanah adat Orang Asli
Diterbitkan:  Aug 17, 2018 10:23 AM
Dikemaskini: 3:26 AM

Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk pemewartaan tanah adat Orang Asli di seluruh negara bagi menjamin hak golongan itu terhadap pemilikan tanah mereka terpelihara.

Menterinya Rina Mohd Harun berkata langkah itu akan melibatkan pindaan undang-undang sedia ada sebelum kawasan berstatus tanah adat dapat diwartakan atas nama Orang Asli.

"Pengertian tanah adat itu perlu didefinisi semula dengan mengambil kira aspek undang-undang, memandangkan tidak semua negeri mengiktiraf tanah adat Orang Asli yang menyukarkan pemewartaan menyeluruh dapat dibuat.

"Langkah ini akan disegerakan bagi memastikan ketidak adilan seperti yang terjadi kepada Orang Asli di Gua Musang, Kelantan dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan dan pelancaran program penghayatan Bulan Kebangsaan peringkat kementerian itu.

Rina mengulas mengenai langkah yang akan diambil kementerian bagi membantu nasib Orang Asli Temiar di 17 perkampungan di Gua Musang yang terpaksa membina sekatan bagi menghalang tanah adat mereka diceroboh pihak luar.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan masalah isu pencerobohan tanah adat Orang Asli di Gua Musang yang menuntut pengiktirafan wilayah tanah adat melalui kaedah Geran Komuniti.

Dalam pada itu, Rina berharap Kerajaan Negeri Kelantan memberi penekanan yang serius untuk menyelesaikan isu itu dengan mempermudahkan urusan pemewartaan tanah adat di kawasan terbabit.

Beliau berkata walaupun istilah tanah adat Orang Asli tidak wujud dalam undang-undang tanah negeri Kelantan tetapi Kerajaan Negeri tidak boleh memandang remeh isu berkenaan kerana masyarakat itu mahu hak mereka diiktiraf.

"Perkara berkaitan undang-undang itu memang jelas tetapi dengan bidang kuasa yang ada, Kerajaan Negeri Kelantan seharusnya bertindak lebih baik dan adil dalam menangani tuntutan itu,"​​​​​ katanya.

Sebagai langkah susulan, Rina berkata pihaknya akan bertemu Kerajaan Negeri Kelantan dalam masa terdekat bagi membincangkan kemelut itu termasuk keperluan mendefinisikan semula tanah adat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS