Biro disiplin PKR digesa bertindak calon buat fitnah, tohmahan liar
PEMILIHAN PKR | Biro disiplin Parti Keadilan Rakyat dan jawatankuasa pusat pemilihan parti digesa bertindak terhadap fitnah dan tohmahan liar yang dibuat anggota parti terhadap pencabar mereka pada saingan pemilihan kepimpinan tahun ini.
Naib Ketua AMK Cabang PKR Permatang Pauh, Haidhar Auni Dzolkapli berkata tindakan sebegitu menjejaskan pemilihan parti tahun ini yang mana calon-calon diberi peluang berkempen selama sembilan minggu.
"AMK Permatang Pauh menyeru kepada biro disiplin dan jawatankuasa pemilihan pusat agar tidak memandang remeh akan fitnah liar dan tohmahan liar yang semakin menjadi barah dalam parti," kata Haidhar dalam suatu kenyataan hari ini.
Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR. Walaupun begitu, kempen bagi jawatan timbalan presiden semakin hangat di antara penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pencabar bekas MP Pandan Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, terdapat dakwaan rancangan antara Azmin yang menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin bagi menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
Kedua-dua Mahathir dan Azmin menafikan dakwaan tidak berasas itu.
Elak kempen berlebihan
Haidhar berkata ketika tempoh berkempen ini semua mata bertumpu kepada pemilihan PKR.
"Tempoh ini harus digunakan sebaiknya oleh semua calon untuk berkempen secara matang dan sihat.
"Sebagai parti memerintah, adalah wajar untuk semua anggota mengelakkan kempen yang berlebihan sehingga mencapai tahap ‘character assassination’," kata Haidhar yang juga calon ketua AMK Permatang Pauh.
Haidhar berkata kaedah kempen itu boleh memusnahkan imej parti dan mencadangkan biro disiplin PKR mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan pencalonan.
"Biro Disiplin Parti dan JPP harus memberi perhatian sewajarnya kepada perkara ini dan mengambil tindakan tegas kepada calon calon sekiranya berlaku.
"Bagi yang telah berlaku, AMK Permatang Pauh mencadangkan agar dilucutkan terus pencalonan individu tersebut," katanya.

