Malaysia dijangka menerima kesan minimum daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China kerana negara ini adalah sebuah ekonomi terbuka yang kecil, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, jika perang perdagangan itu terus memuncak, seluruh ekonomi global akan menerima kesannya dan pertumbuhan dunia dijangka merosot sebanyak 0.5 peratus menjelang 2020, kata Gabenor BNM Datuk Noor Shamsiah Mohd Yunus.

"Meskipun begitu, satu daripada kekuatan ekonomi kita adalah kita mempunyai struktur ekonomi yang pelbagai.

"Justeru, walaupun eksport kita mungkin akan terjejas oleh pertumbuhan perlahan ekonomi global namun aktiviti domestik akan terus bertahan dan ini akan menyediakan asas bagi pertumbuhan dalam senario sedemikian,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2018, di Kuala Lumpur, hari ini.