Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Tempoh masa Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memenuhi sepuluh janji manifestonya dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran akan berakhir kurang dari 24 jam.

Malaysiakini meneliti jika HARAPAN berjaya melaksanakan sepuluh janji tersebut.

Pengerusi jawatankuasa manifesto HARAPAN, Datuk Rais Hussin Mohamed juga menimbang perkembangannya. Kenyataannya telah disunting untuk lebih jelas dan ringkas.

Janji 1: Menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengambil langkah-langkah mengurangkan kos sara hidup.

Status: Berjaya dipenuhi.

Janji ini dipenuhi apabila GST diletakkan kadar sifar pada 1 Jun.

Walaupun pemansuhan akhir Akta GST hanya akan berlaku selepas 100 hari, ia adalah perjanjian yang dibuat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan kerajaan membentangkan akta tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, walaupun Dewan Negara tidak meluluskan pemansuhan Akta GST.

Kenyataan Rais: Secara berkesan, kita telah menghapuskan GST. Mengurangkan kos sara hidup adalah proses berterusan yang tidak dapat diselesaikan dengan hanya menghapuskan GST.

Kamu juga perlu menyederhanakan ringgit yang telah susut nilai, suatu peninggalan pentadbiran lama dan terjejas oleh isu keyakinan terdahulu dan faktor luaran seperti perdagangan AS-China.

Janji 2: Stabilkan harga petrol dan memperkenalkan subsidi petrol.

Status: Sebahagian dipenuhi.

Putrajaya memutuskan untuk mengekalkan harga RON95 dan diesel pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter.

Walau bagaimanapun, belum ada pengumuman mengenai subsidi petrol bersasar, perkembangan terbaru kerajaan sedang mengkaji mekanisme mengenai perkara itu.

Kenyataan Rais: Kami berusaha keras mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan pemberian subsidi petrol bersasar. Ia akan mengambil sedikit masa.

Ia tidak akan mengambil masa bertahun-tahun, tetapi akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Janji 3: Menghapuskan hutang peneroka Felda.

Status: Dalam pelaksanaan.

Tidak ada pengumuman dibuat mengenainya kecuali kerajaan melihat pelbagai cara untuk mengurangkan hutang yang dikenakan oleh peneroka Felda.

Kenyataan Rais: Ia memeningkan kepala kita dan kita masih lagi mengkaji perkara ini. Wujud hutang yang tidak perlu. Butiran itu terdapat dalam penyata akaun, jumlahnya antara RM4 hingga RM5 bilion. Tetapi tiada siapa yang tahu ini (hutang siapa), kecuali hutang Felda.

Pengurusan kanan Felda berkata hutang tersebut sudah berada dalam akaun dan tidak pernah ada usaha untuk mendapatkan wang itu kembali. Ia akan mengambil sedikit masa, ini adalah kerja yang sangat kompleks.

Janji 4: Memperkenalkan KWSP untuk suri rumah

Status: Sebahagian dipenuhi

Bermula Rabu lalu, suri rumah yang mendaftar di bawah program e-kasih boleh membuka akaun KWSP dan menyumbang sekurang-kurangnya RM5 sebulan, yang mana kerajaan akan menambah RM40 sebulan.

Walau bagaimanapun, sumbangan dua peratus daripada akaun KWSP suami seperti yang digariskan dalam manifesto hanya dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2020.

Kenyataan Rais: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memperjuangkan perkara ini berkata usaha ini memerlukan usaha dan penglibatan daripada banyak agensi seperti KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan kementerian lain. Ia akan dilakukan, hanya soal masa untuk dilaksanakan sahaja.

Janji 5: Menyamaratakan gaji minimum dan memulakan proses untuk meningkatkan gaji minimum.

Status: Sebahagian dipenuhi.

Putrajaya belum menyamakan perbezaan RM80 di antara rakyat Malaysia Timur yang memperoleh gaji minimum RM920 sebulan berbanding dengan RM1,000 bagi rakan sejawatan mereka di Semenanjung.

Walau bagaimanapun, kerajaan telah memulakan proses untuk meningkatkan gaji minimum, yang akan dijalankan secara beransur-ansur.

Kenyataan Rais: Terdapat bantahan terhadap perkara ini, malah bangkangan dalam usaha untuk menyelaraskan upah. Mereka mengatakan kos tempat bekerja untuk pekerja adalah berbeza.

Ia mungkin akan mengambil masa 50 hari untuk dipenuhi. Ia dalam peringkat akhir pelaksanaan.

Janji 6: Penangguhan bayaran balik PTPTN kepada graduan gaji bawah RM4,000

Status: Sebahagian dipenuhi.

PTPTN telah menghapuskan peminjam PTPTN daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Walau bagaimanapun, usaha untuk menangguhkan bayaran balik bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 belum dapat direalisasikan kerana institusi itu sedang melakukan pembersihan pangkalan data peminjamnya.

Kenyataan Rais: Senarai hitam PTPTN telah dimansuhkan. Yang tinggal adalah penangguhan pembayaran bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000.

Pangkalan data PTPTN berada dalam keadaan kucar-kacir. Mereka tidak tahu di mana pinjaman itu berada sekarang. Adakah mereka bekerja? Berkahwin? Alamat terkini? Tiada apa-apa pun! Jadi pembersihan perlu dilakukan.

Ia memerlukan kerja keras dan kami masih memerlukan semua agensi untuk bekerjasama dengan kami. Rakyat harus memahami bahawa usaha ini sedang berjalan.

Janji 7: Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji dan memperbaharui pentadbiran agensi-agensi ini.

Status: Dalam pelaksanaan.

Terdapat banyak kemajuan mengenai penyiasatan 1MDB tetapi tidak ada RCI lagi kerana ia akan bertentangan dengan siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Begitu juga, SPRM memulakan siasatan ke Tabung Haji pada 23 Mei lalu manakala Mara dan Felda disiasat tahun lepas, namun keputusan siasatan itu tidak diumumkan.

Tiada pengumuman RCI yang diumumkan untuk siasatan institusi ini.

Kenyataan Rais: Mengapa kita memerlukan RCI apabila siasatan menjadi perkara yang lebih penting lagi?

Perkara yang paling penting adalah membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan. Biarkan penyiasatan tersebut berjalan.

Sekiranya kita mendapati mereka yang bertanggungjawab terhadap kes ini melepaskan diri daripada pertuduhan mahkamah, maka kita akan pergi (buat) RCI.

Kami sudah bergerak jauh ke hadapan ... RCI hanya sekiranya kita gagal membawa ini ke mahkamah.

Janji 8: Menubuhkan jawatankuasa khas kabinet bagi menyemak Perjanjian Malaysia 1963.

Status: Sebahagian dipenuhi.

Kabinet telah bersetuju untuk membentuk jawatankuasa khas. Bagaimanapun, anggota jawatankuasanya belum diumumkan.

Kenyataan Rais: Individu yang tepat perlu dipilih bagi menganggotai jawatankuasa tersebut. Individu yang dimaksdukan perlu memahami semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Janji 9: Memperkenalkan "Skim Peduli Sihat" dengan memberi RM500 pembiayaan rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan isi rumah berpendapatan B40

Status: Dalam pelaksanaan

Skim kesihatan tersebut berkemungkinan akan diperkenalkan sebagai skim insurans. Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan tersebut tidak dapat dipenuhi dalam tempoh 100 hari pentadbiran Pakatan Harapan.

Kenyataan Rais: Beberapa negeri telah melaksanakannya, seperti di Selangor (nota editor: program di Selangor diperkenalkan sejak tahun 2017) dan ia masih berterusan.

Janji 10: Menjalankan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Status: Berjaya dipenuhi.

Kenyataan Rais: Beberapa projek telah dihentikan dan separuh daripadanya sedang dikaji semula. Jadi, okay lah.


Rumusan akhir:

Berjaya dipenuhi: 2

Sebahagiannya dipenuhi: 5

Dalam pelaksanaan: 3

Definisi

Dipenuhi: Janji telah ditepati.

Sebahagiannya dipenuhi: Hampir sebahagian janji ditepati atau mengandungi pelbagai komponen yang sekurang-kurangnya telah dipenuhi sebahagiannya.

Dalam pelaksanaan: Usaha telah dibuat tetapi masih belum dapat disampaikan secara signifikan.

Untuk maklumat lanjut, lawati laman mikro Malaysiakini yang memantau 10 janji Pakatan Harapan dalam masa 100 hari di sini.

Lihat Komen
ADS