Pemandu bas henti-henti milik RapidKL yang melanggar tujuh kenderaan di Ampang dekat Kuala Lumpur, telah ditahan polis di Hospital Ampang bagi membantu siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata pemandu berkenaan yang mengalami kecederaan di bahagian kepala masih lagi menerima rawatan di hospital berkenaan.

“Ujian saringan awal air kencing pemandu itu turut dilakukan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian kira-kira 8.00 malam itu, sebanyak tujuh kenderaan rosak teruk selepas dirempuh sebuah bas henti-henti dipandu seorang lelaki yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan di hadapan Bangunan Risda di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Video berdurasi 1 minit 37 saat yang memaparkan kejadian berkenaan tular dalam media sosial.

Sementara itu, Zulkefly menafikan mesej yang tular di media sosial bahawa pemandu bas berkenaan telah meninggal dunia.

Menurutnya pemandu bas berkenaan akan dibenarkan keluar hospital pada pukul 3 petang hari ini.

“Polis akan menjalankan siasatan lain sekiranya pemandu membuat laporan polis yang dia dipukul dan semasa kejadian tiada penumpang dalam bas berkenaan,” katanya.