Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
M'sia terus sokong inisiatif 'Satu Jalur Satu Jalan' China

Menjelang lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China, Malaysia mengulang sokongannya kepada inisiatif 'Satu Jalur Satu Jalan' (OBOR) yang dirancang republik itu.

"Daripada segi OBOR, saya fikir perdana menteri telah menjelaskan Malaysia akan terus menyokong inisiatif ini.

"Apa yang penting bagi saya adalah untuk Malaysia mengenal pasti projek-projek yang memberi kita manfaat. Kita (Malaysia) tidak boleh ditentukan oleh China," kata Duta Besar Malaysia ke China Zainuddin Yahya kepada wartawan Malaysia di Hangzhou, China hari ini.

Ditanya mengenai kebimbangan para pelabur China serta jangkaan pihak perniagaan di China, Zainuddin berkata mereka sangat teruja untuk menyambut delegasi dari Malaysia ke republik itu.

"Salah satu objektif lawatan ini adalah untuk meredakan kebimbangan kerajaan China, khususnya para pelabur.

"Seperti yang saya katakan, lawatan ini merupakan iltizam kerajaan Malaysia bahawa kami akan terus meletakkan keutamaan terhadap jalinan perhubungan kami dengan China," katanya.

Zainuddin berkata kementerian perdagangan antarabangsa dan industri telah ditugaskan mengurus dan memantau inisiatif berkenaan dan telah menubuhkan sebuah sekretariat nasional untuk mengenal pasti projek-projek yang memberi manfaat kepada Malaysia.

Lawatan rasmi lima hari Mahathir bermula hari ini dan rombongan beliau dijangka tiba di Hangzhou malam ini.

Perrdana menteri akan melawat ibu pejabat Alibaba dan juga pejabat Geely Holdings Group sebelum menuju ke Beijing esok.

Pada 20 Ogos, Mahathir akan mengadakan kunjungan hormat kepada Presiden China, Xi Jinping, Perdana Menterinya Li Keqiang dan Pengerusi Kongres Rakyat Nasional, Li Zhansu di Beijing.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS