Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai kanan polis dipindah perkara biasa, kata IGP

Pemindahan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai ketua pengarah adalah amalan biasa, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Fuzi berkata ada masanya pegawai kanan polis perlu menerima arahan kerajaan untuk dipindahkan ke agensi atau badan lain.

"Ini bukan kali pertama pemindahan seumpama itu berlaku. Bekas bos saya (bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah) Tan Sri Zaman Khan dipindahkan ke Jabatan Penjara (sebagai ketua pengarah).

"Allahyarham Bakri Omar (bekas IGP) juga pernah ke AADK. Ada masanya apabila kerajaan mengarahkan (pemindahan), kita perlu akur," katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditanya sama ada Zulkifli (gambar) telah menggunakan kedudukannya dalam PDRM untuk mendapatkan projek tertentu, Fuzi enggan memberikan sebarang ulasan.

"Soal itu saya tiada komen."

Terdahulu, Malay Mail melaporkan pelantikan itu dibuat atas arahan terus Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Zulkifli dilaporkan berkata terkejut dengan pemindahan itu tetapi menganggap peluang untuk mengetuai AADK sebagai satu penghormatan.

Lihat Komen
ADS