Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wan Azizah harap peratusan undi rendah tak berulang

Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) berharap rakyat terus memberikan mandat kepada gabungan itu dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail parti terbabit juga meminta pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Balakong keluar beramai-ramai pada 8 Sept ini untuk mengelakkan peratusan rendah seperti di Sungai Kandir berulang.

“Kita nak orang ramai (di kedua-dua kawasan PRK terbabit) keluar mengundi berbanding dengan Sungai Kandis," katanya sambil mengaku 'demam' PKR kali ini tidak sehangat selalu.

Dr Wan Azizah yang juga presiden PKR ditemui media selepas proses penamaan calon PRK Seri Setia di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berakhir hari ini.

Pada PRK Sungai Kandis awal bulan ini peratusan yang keluar mengundi hanya 49.8 peratus.

Terdahulu Dr Wan Azizah hadir bagi memberikan sokongan kepada calon HARAPAN, Halimey Abu Bakar yang akan cuba mempertahankan kerusi Seri Setia daripada dirampas pembangkang yang diwakili Dr Halimah Ali.

Umno memberikan laluan kepada PAS bertanding dalam PRK Seri Setia kali ini sebagai menghargai kerjasama parti terbabit di Sungai Kandis.

PAS mewakili pembangkang di Seri Setia di sebalik keputusan pada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan calon parti itu berada di tempat ketiga selepas BN dan hampir hilang deposit.

Sementara itu Dr Wan Azizah berkata, HARAPAN akan menggunakan logo sendiri untuk kali pertama pada PRK Seri Setia dan Balakong HARAPAN ini.

“Kita menggunakan logo baru, logo HARAPAN dan kita tahu proses ini memerlukan masa," katanya.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan mewakili HARAPAN.

Antara pemimpin Umno yang hadir semasa proses penamaan calon tadi ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad, Ketua Penerangan Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Putri Datuk Zahida Zarik Khan

Semantara itu pemimpin PAS yang hadir ialah timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Di pihak HARAPAN, pemimpin lain yang memberikan sokongan ialah beberapa menteri termasuk Datuk Seri Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin.

Lihat Komen
ADS