Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi bawa agenda Sabah dalam pemilihan PKR

PEMILIHAN PKR | Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memastikan Sabah terus diberikan perhatian kerajaan Persekutuan berhubung soal autonomi dan pembangunan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata komitmen itu sejajar kerana PKR Sabah paling kukuh di negara ini dari segi keanggotaan dan sokongan.

"Maka segala rancangan, apa yang perlu dibantu kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan (HARAPAN) dan apa jua program mestilah perbincangannya dimulakan sekarang.

"Sebab itu, saya bawa perkara ini dalam pemilihan parti kerana agenda untuk meletakkan Sabah dan PKR di negeri ini di tempat setara dengan kekuatan PKR Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Bicara Reformasi di Sandakan, hari ini.

Pada pemilihan PKR pusat akan datang, Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden menentang penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Rafizi tak minat pentadbiran persekutuan

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh yang juga calon ketua wanita PKR.

Mengenai harapan beliau sebagai calon timbalan presiden PKR, Rafizi menyatakan pendiriannya tidak berminat dengan pentadbiran di peringkat persekutuan.

Katanya, beliau lebih beminat untuk terus memperkukuhkan HARAPAN terutamanya PKR di negeri-negeri yang dimenangi tipis dan di negeri yang belum menang besar termasuk di Sabah.

"Kita perlu memastikan kerajaan HARAPAN ada cukup masa melaksanakan reformasi menyeluruh dan perlukan lebih satu penggal.

"Kita tidak boleh mengambil mudah kemenangan kali ini untuk menghadapi pilihan raya akan datang," kata Rafizi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS