Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pasca-100 hari HARAPAN: Tumpuan beralih ke janji jangka panjang

WAWANCARA | Pakatan Harapan (HARAPAN) sudah memerintah kerajaan melebih 100 hari dan perhatian kini bertumpu kepada janji jangka panjang gabungan itu yang ada beberapa daripadanya dilihat mencabar untuk dilaksanakan.

Antaranya ia janji untuk menghapuskan tol lebuh raya. Kenyataan Menteri Kerja Raya Baru Bian bahawa pengambil alihan konsesi tol akan menelan kos RM400 bilion saja sudah menyebabkan kritikan daripada pembangkang yang menuduh kerajaan cuba untuk memungkiri janji.

Bagaimanapun, Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Rais Hussin, yang juga merupakan anggota jawatankuasa manifesto HARAPAN, memberi jaminan bahawa usaha bagi tujuan itu sedang dilakukan.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Rais berkata usaha untuk pengambilalihan konsesi tol itu ditumpukan pada tol lebuh raya dalam bandar seperti tol yang menghubungi Lembah Klang.

"Bagi (tol lebuh raya) antara bandar, itu sesuatu yang sedang dikaji untuk melihat kemungkinan yang akan terjadi sekiranya kerajaan ambil alih. Di sini kira perlukan kajian yang mendalam berhubung kewangan," katanya.

Jelas Rais, kerajaan HARAPAN mewarisi hutang yang banyak yang ditinggalkan pentadbiran lama, maka pengambilalihan konsesi tol bererti menggalas liabiliti lebih besar kerana Putrajaya akan menanggung hutang syarikat-syarikat berkenaan.

"Kosnya besar kerana perjanjian yang tidak seimbang yang ditandatangani oleh kerajaan sebelum ini," katanya.

Tambah Rais, kerajaan lebih berhasrat berunding semula dengan syarikat konsesi tol berbanding mengheretnya ke pertikaian mahkamah yang akan menyebabkan "masalah lebih besar".

Bagi lebuh raya antara bandar pula, terutama Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Rais berkata tumpuan diberikan bagi memastikan tiada kenaikan atau penurunan kos tol.

Rais percaya ia boleh dicapai dengan menyelesaikan isu kos penyelenggaraan yang tinggi yang menyebabkan kesan secara langsung kepada pengguna lebuh raya.

"Kenapa tol mahal? Sebab yang selalu disebutkan adalah kos penyelenggaraan, namun kita dapati kos penyelenggaraan yang sepatutnya RM300,000 dibilkan sehingga RM3 juta.

"Kontrak dianugerahkan kepada orang atau kumpulan tertentu, kadang-kadang ketua bahagian (parti politik).

"Jadi kita sekarang cuba memastikan kos penyelenggaraan akan kekal rendah melalui proses tender rasmi," katanya.

Pengiktirafan UEC

Satu lagi janji HARAPAN yang dilihat mencabar adalah pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sijil bagi sekolah menengah swasta Cina, yang menimbulkan kontroversi meskipun ia bukan sebahagian janji 100 hari kerajaan baru.

UEC dilihat sebagai perkara penting di kalangan pendidik Cina namun mendapat bantahan dari pihak tertentu yang bimbang pengiktirafan sijil itu akan menjejaskan bahasa kebangsaan.


Baca selanjutnya: 'Baca manifesto!' - pesan Rais


Malah, kontroversi itu dikatakan menjejaskan sokongan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, berdasarkan dapatan tinjauan Merdeka Center baru-baru ini.

Rais mengakui UEC sebagai isu "sensitif" namun berkata perhatian perlu diberikan bagi menunaikan janji itu.

Dalam manifestonya, HARAPAN menyatakan: "Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijik UEC sebagai syarat am kelayakan bagi memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam dengan syarat pemohon mendapat kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM"

Bagaimanapun, Rais menyorot ayat seterusnya yang menyatakan: "Untuk tujuan ini, UEC akan dinilai agar setaraf dengan kelayakan am sedia ada untuk kemasukan IPTA"

"Apa kelayakan sedia ada? Perlu kepujian dalam bahasa Melayu, matematik, sain dan sejarah. Ini merupakan kelayakan umum.

"Dan proses akreditasi akan dilakukan oleh Lembaga AKreditasi Negara," katanya.

Kebanyakan pihak menumpukan pada ayat pertama yang hanya menyebutkan syarat kepujian dalam subjek bahasa Melayu. Ia menyebabkan perdebatan sama ada kepujian dalam subjek Sejarah juga diperlukan. UEC mempunyai subjek Sejarah sendiri namun tidak diiktiraf oleh Lembaga Akreditasi Negara.

Keadaan ketika ini dilihat akan menyebabkan ketidakpuasan hati golongan pendidik cina dan isu ini dijangka akan terus menjadi perdebatan.

[Baca berita penuh]

*Wawancara ini dikendalikan bersama oleh Nigel Aw, Norman Goh dan Zikri Kamarulzaman.

Lihat Komen
ADS