' Kalau menang satu keajaiban', kata Ibrahim Ali
Calon bebas pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Datuk Ibrahim Ali mengakui peluangnya untuk menang adalah sukar.
Beliau yang kini giat melakukan kempen dari rumah ke rumah sejak Ahad lepas mengakui mencapai kemenangan adalah satu keajaiban.
Calon bebas pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, Datuk Ibrahim Ali mengakui peluangnya untuk menang adalah sukar.
Beliau yang kini giat melakukan kempen dari rumah ke rumah sejak Ahad lepas mengakui mencapai kemenangan adalah satu keajaiban.
"Memang satu perkara yang miracle (ajaib) untuk menang sebab bila saya bertanding tiga penjuru sebagai calon Bebas saya pun tahu saya menentang Barisan Nasional selaku kerajaan pusat dan PAS juga kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di kediamannya di Wakaf Bharu, Pasir Mas.
Bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas yang digugurkan daripada jawatannya itu dua tahun lalu ketika ditanya kenapa beliau bertanding, memberi alasan mahu menebus maruah diri dan " mencari platform untuk memperjuangkan suara rakyat Pasir Mas" sebagai antara sebabnya.
"Dengan sebab itu saya bertanding setelah mengambikira semua aspek. Saya bukan sahaja tiada kemudahan, tiada itu, tiada ini, tiada akhbar, tiada projek, tiada agensi... saya sedar memang ianya `miracle' tetapi sebagai orang perjuangan menang kalah itu ditentukan di tangan rakyat," katanya.
Menurut laporan Bernama, pada pilihan raya umum lepas, Ibrahim meraih 6,198 undi sebagai calon bebas di kerusi parlimen Pasir Mas yang dimenangi Ismail Nuh daripada PAS (17,526 undi) berbanding 16,275 undi calon BN Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman (Ketua Umno Bahagian Pasir Mas sekarang).
Pilihan raya kecil Pengkalan Pasir yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu akibat kanser hati. Ibrahim, yang dicap sebagai pembelot Umno oleh pemimpin-pemimpin parti itu, akan sekali lagi berdepan dengan calon BN dan PAS.
Menurut Ibrahim keputusannya untuk bertanding menentang calon BN berpunca daripada tindakan pucuk pimpinan Umno (MT) menggugurkan beliau daripada jawatan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas pada 2003 dan sebagai seorang yang sudah lama berjuang dan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit bersama parti, tindakan pengguguran itu tidak dapat diterimanya.
Rekod perkhidmatan
"Saya tidak kecewa kalau saya tidak dipilih jadi calon pilihan raya umum 2004 tetapi tak pilih saya jadi ketua penaja seolah-olah beri gambaran kepada umum bahawa saya ini melakukan kesalahan dan ini melibatkan soal maruah dan prinsip, maruah keluarga inilah puncanya," katanya.
Beliau yakin pengundi akan memberikan sokongan kepada beliau berdasarkan rekod perkhidmatan, pengalamannya berkhidmat selama lebih 20 tahun di bandar itu dan latar belakangnya sebagai anak jati Pasir Mas.
Penganalisis politik melihat kehadiran Ibrahim akan memecahkan undi terutama undi Umno berdasarkan kepada 1,500 undi yang diperolehi Ibrahim dalam pilihan raya umum lalu datang dari Pengkalan Pasir.
Naib Presiden PAS Husam Musa ketika diminta mengulas mengenai kehadiran Ibrahim berkata perkembangan itu akan menguntungkan PAS.
"Kemasukan calon Bebas ini adalah protes terhadap Umno, jadi Umnolah harus menjadi korban daripada persaingan ini bukan PAS." kata Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri Kelantan.
Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno termasuk Naib Presiden Datuk Seri Mohd Ali Rustam bagaimanapun yakin kehadiran Ibrahim tidak menjejaskan sokongan terhadap BN kerana sokongan dan simpati kepada bekas ketua bahagian Umno itu dikatakan sudah menurun berbanding dua tahun lalu.
Malah, terdapat di kalangan pemimpin Umno yang menyifatkan kehadiran Ibrahim sebagai perkara kecil dan tidak menjejaskan peluang BN untuk merampas kerusi Pengkalan Pasir dari pengusaan Pas sejak tahun 1990.
Namun begitu kehadiran Ibrahim tidak dipandang ringan oleh BN dan Annuar sendiri menyifatkan pilihan raya kecil itu sebagai yang paling sengit buat Umno sepanjang lebih 20 tahun beliau bersama parti itu.
"Pilihan raya ini adalah pilihan raya yang sengit. Umno mesti kerja kuat. Ia bukan pilihan raya yang mudah untuk Umno. Sepanjang hayat saya main politik, saya tak pernah jumpa pilihan raya yang sesukar ini, bagaimanapun kita ada peluang yang sama untuk menang," katanya.
Hari pengundian ialah pada 6 Disember ini. Pengkalan Pasir mempunyai 18,411 pengundi berdaftar.

