Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Di China, Dr M tekankan kepentingan kuasai banyak bahasa

Di hadapan diaspora Malaysia di China, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pengalaman berbahasa Hokien ketika bertugas sebagai doktor bagi menunjukkan kepentingan menguasai pelbagai bahasa.

"Adalah baik bagi anda untuk mengetahui sesetengah bahasa Cina.

"Saya pernah menjadi doktor dan saya boleh bertanya pesakit saya dalam bahasa Cina, (tapi) sudah tentulah Hokkien," katanya sambil disambut tepukan ketika berkongsi pengalaman awal sebagai doktor.

Mahathir berucap di hadapan kira-kira 500 diaspora Malaysia semasa majlis makan malam di Hotel China Summing Wing di Beijing, China hari ini.

Beliau menjawab satu soalan hadirin mengenai program memperluas pendidikan dalam bahasa lain selain Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

"Kita perlu respons terhadap persekitaran. Jika kita berada di China dan cuba bercakap dalam bahasa Melayu, jelaslah peniaga di China tidak akan faham, jadi anda perlu memperluaskan bahasa ketika di China," katanya.

Mahathir juga bercakap mengenai pengalaman bertemu para pemimpin perniagaan China semasa lawatan kerja di Hangzhou dan Beijing apabila mereka dapat berkomunikasi dengan lancar semasa taklimat dalam bahasa Inggeris.

"Walaupun saya tidak dapat berbahasa Cina dan ketika saya datang ke sini untuk bertemu dengan para pemimpin perniagaan, mereka semua mampu berbahasa Inggeris dengan baik. Bahkan mereka melakukan taklimat dalam bahasa Inggeris.

"Bahasa Inggeris adalah bahasa universal. Sekarang, sama ada anda pergi ke Jepun, China atau Korea, mengetahui bahasa Inggeris akan membantu anda. Tanpa mengetahui bahasa Inggeris tidak akan mudah untuk anda berkomunikasi," katanya.

Beliau turut menekankan keperluan menguasai tiga bahasa di negara ini dan menegaskan keupayaan untuk berkomunikasi antara satu sama lain dalam bahasa Melayu dan menguasai Bahasa Inggeris.

"Saya akan mengatakan bahawa di Malaysia, kita perlu menguasai tiga bahasa.

"Pertama sekali, adalah bahasa kebangsaan kita, Bahasa Malaysia, supaya kita boleh berbincang dengan semua rakyat Malaysia dari kampung atau dari bandar.

"Kedua, kita mesti menguasai bahasa Inggeris, bahasa universal, setiap kali kita pergi ke luar negara, Bahasa Inggeris akan berguna.

"Kita mesti menguasai sekurang-kurangnya beberapa bahasa Cina atau bahasa Tamil kerana kita ada orang Cina dan Tamil di Malaysia.

"Tetapi, seperti yang anda lihat sekarang, kita perlu menekankan pentingnya kita dapat bercakap antara satu sama lain dalam Bahasa Melayu dan menguasai Bahasa Inggeris," ujarnya.

Lihat Komen
ADS