Tiba masa untuk reformasi sukan negara
ULASAN | Secara rasminya Sukan Asia ke-18 Jakarta-Palembang telah dibuka gelanggangnya dengan gilang-gemilang, Presiden Jokowi tampil dengan gimik kemuculannya menunggang motosikal bagi mengelak kesesakan jalan raya untuk sampai ke stadium bagi acara pembukaan yang mencuri tumpuan dunia.
Malaysia nampaknya langkah kanan di dalam temasya sukan kali ini apabila menang 2-1 di dalam acara bola sepak melawan pasukan besar bola sepak Asia, Korea Selatan.
Melihat betapa ringkasnya ucapan pembukaan oleh Presiden Jokowi menggunakan 100 peratus bahasa Melayu Indonesia menggamit kenangan kemeriahan Sukan Sea di Kuala Lumpur tahun lepas.
Pastinya semalam Datuk Seri Najib Razak dan Khairy Jamaluddin mungkin menangis rindu penuh kesal melihatkan segala jawatan mereka hanya tinggal sejarah.
Manakan tidak, masih terngiang-ngiang sorakan merdeka 7 kali, jeritan rakyat di Stadium Bukit Jalil meminta cuti dan bersama-sama meraikan kemenangan kontijen Malaysia memenangi Sukan Sea dengan 145 emas, 40 daripadanya hasil dari atlet muda yang masih di bangku sekolah.
Tatkala itu Najib memanggil mereka sebagai "adik-adik yang hebat". Peristiwa ini terjadi di ambang sambutan kemerdekaan tahun lepas di mana itulah kali terakhir Najib memberi ucapan berterima kasih di dalam suasana yang beliau rasa jawatan beliau sebagai perdana menteri cerah untuk sepenggal lagi.
Begitu juga kepada Khairy Jamaluddin yang pada masa itu semangatnya melonjak untuk memikirkan betapa lebih banyak lagi kejayaan yang bakal diperoleh di dalam arena sukan dengan segala perancangan masa depan sukan yang telah diaturkan.
Semua tinggal kenangan
Program Podium dan Program Sukan Elit misalnya ternyata gagal di dalam dua temasya sukan berprestij tinggi iaitu pada Olimpik 2016 dan Sukan Komenwel 2018 di mana kontinjen Malaysia masih gagal meraih pingat emas di olimpik dan gagal berada di dalam 10 pasukan terbaik di sukan Komenwel 2018.
Khairy Jamalauddin sebagai seorang politikus berjaya mengalih perhatian rakyat dengan kejayaan pasukan Malaysia di dalam sukan berprestij rendah Sukan Sea 2017.
Tetapi di dalam sanubari beliau terpahat satu semangat untuk membuktikan sesuatu untuk temasanya Sukan Asia 2018 dan Olimpik Tokyo 2020.
Malangnya semua tinggal kenangan, hancur musnah berderai termasuk cita-cita ingin menjadi perdana menteri Malaysia.

Walaupun atlet yang kini bersaing di Sukan Asia sebenarnya berada di dalam program pembangunan sukan kendalian beliau tetapi apa jua kemenangan pasti akan terarah kepada kerajaan Pakatan Harapan dan apa jua kegagalan Khairy Jamaluddin lah yang dipertanggungjawabkan kerana Syed Saddiq baru dua bulan memegang portfolio itu.
Tarikh-tarikh temasya sukan ini memang sebenarnya menggamit banyak nostalgia, jikalau sukan Asia tahun ini boleh dikaitkan dengan sambutan kemerdekaan Singapura, Malaysia dan Indonesia, Sukan Komanwel 1998 juga mengingatkan satu sejarah kebangkitan perjuangan Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
September 1998 beliau dipecat, dihina dan difitnah oleh kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, di dalam bulan penganjuran sukan berprestij penuh sejarah Sukan Komanwel terakhir sebelum tahun milenium.
Kini Anwar sebagai perdana menteri menanti dan sudah pastinya emas pertama untuk Malaysia di dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo boleh dijadikan agenda reformasi sukan negara.
Sukan selama era kerajaan BN sebenarnya satu bentuk bisnes penghambaan atlet. Malangnya penghambaan moden ini diterima rakyat yang banyak, walaupun kerajaan berbelanja beratus bilion ringgit selama pemerintahan Najib, tetap sukan berjaya digambarkan satu wadah perpaduan walaupun sasaran utamanya belum tercapai.
Dunia glamour sukan ini seolah-olah dihalalkan oleh rakyat yang banyak tanpa mengetahui betapa banyak kepincangan yang terjadi di peringkat persatuan-persatuan sukan lagi yang mana rata-rata atlet dipilih dari peringkat persatuan.
Salah guna kuasa, rasuah dan boros berbelanja merupakan satu budaya kerja selama ini di kalangan persatuan-persatuan sukan juga di peringkat Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan.
Atlet tak berani bersuara
Ramai juga atlet termasuk yang terkenal selama ini pasrah dengan penghambaan moden ini, mereka kerap kali dipergunakan untuk tujuan dan kerakusan cita-cita politik pihak-pihak tertentu.
Lebih malang, segala insentif yang dijanjikan pun belum diterima sepenuhnya dan ada juga kes hanya menerima replika cek supaya menjadi alat jual propaganda di arena berita.
Ada atlet ternama walaupun acap kali telah mengharumkan nama negara terpaksa mencari tajaan sendiri untuk menampung kehidupan dan masa depan kariernya.
Sukan Asia ke-18 kali ini menampilkan seorang atlet yang paling muda berusia 11 tahun Ian Nuriman yang bakal bertanding di acara skateboard pada 28 ogos nanti.
Beliau telah dilatih oleh ayahnya sendiri sejak berusia 4 tahun. Ian juga dalam usia yang sangat muda di dalam sukan ekstrim ini telah berjaya memenangi pelbagai pertandingan hasil latihan bersama ayahnya tanpa melibatkan mana-mana bantuan persatuan dan MSN.
Malangnya setelah terpilih mewakili negara, dengan mudah persatuan yang terbabit mengenepikan ayah yang juga pelatih Ian selama ini dengan janji-janji manis seperti latihan di Amerika Syarikat dan mendapat latihan professional.
Ian hanya ditempatkan di Institut Sukan Negara untuk latihan fizikal dan mental tetapi untuk latihan kemahiran skateboard persatuan tidak membuat apa-apa dan membiarkan ian berlatih sendirian yang akhirnya ayahnya terpaksa kembali melatihnya.
Apa yang mengejutkan, selaku jurulatih Ian, ayahnya langsung tidak tersenarai untuk mengiringi anakandanya ke sukan berprestij tinggi ini membiarkan kanak-kanak berusia 11 tahun pergi bertanding tanpa jurulatih dan sokongan ayahnya.

Nuriman jurulatih dan ayah Ian terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan ke Jakarta dan lebih malang hanya hadir sebagai penonton yang tidak diberikan apa-apa pass sebagai jurulatih.
Ini merupakan contoh dan kes terpencil melibatkan atlit kanak-kanak dengan sukan yang tidak dianggap penting.
Tetapi jikalau Ian berada di podium nanti pasti monyet-monyet tak tahu malu ini akan mula riuh rendah sana-sini mendakwa Ian adalah hasil keberkesanan program latihan mereka.
Selama ini ramai atlet tidak berani bersuara atapun membawa kes penghambaan mereka ke Mahkamah kerana mereka gusar akan digugurkan dari pasukan dan kerap kali Khairy Jamaluddin pada era beliau akhirnya akan mengikut keputusan persatuan-persatuan sukan yang korup.
Lebih pelik kebanyakkan persatuan-persatuan sukan ini masih dipimpin oleh ahli-ahli elitis Umno juga anak dan sanak saudara Najib di era Pakatan Harapan ini.
Reformasi agenda sukan negara perlu segera dilakukan, ya Syed Saddiq memikul tanggungjawab berat. Beliau perlu segera memahami dan mempelajari agenda reformasi tulen daripada Bapa Reformasi, Anwar Ibrahim setelah agenda harapan yang beliau pelajari dari Dr Mahathir telah beliau peroleh habuannya.
Selamat maju jaya para atlet Malaysia di temasya Sukan Asia ke-18, ke arah Reformasi Sukan Negara.
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

