Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Jangan pilih calon 'papan tanda’ di Seri Setia
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 12:18 PM
Dikemaskini: 5:13 AM

PRK SERI SETIA | Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia disaran memilih calon PAS iaitu Dr Halimah Ali yang diyakini mampu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya memilih calon yang sekadar menjadi ‘papan tanda’.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara sinis membandingkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Halimey Abu Bakar yang menurutnya tidak dapat menandingi rekod perkhidmatan Halimah.

“Kita meletakkan bekas exco dan bekas wakil rakyat yang telah membuktikan kerjanya sebagai wakil rakyat dan exco. Kita dapat menilai (Dr Halimah) pada masa menjawat wakil rakyat dan sentiasa turun padang dan kuat bekerja.

“Bukan wakil rakyat signboard (papan tanda) yang tunjuk gambar sahaja, yang turun hanya pilihan raya (tetapi) kita buktikan (calon PAS) melalui pengalaman yang ada,” beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.

Dr Halimah merupakan bekas exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar  Selangor.

Dr Halimah kemudiannya meletak jawatan sebagai exco, bersama tiga lagi exco PAS yang lain pada 2014 selepas Abdul Khalid melepaskan jawatan menteri besar susulan krisis politik di Selangor ketika itu.

PRK Seri Setia bulan depan akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Dr Halimah dan Halimey.

Kerusi Seri Setia kosong selepas penyandangnya Dr Shahruddin Baharuddin yang meninggal dunia akibat kanser usus.

Sementara itu Abdul Hadi berkata pihaknya tidak gentar dengan kempen HARAPAN yang menjadikan calon tempatan sebagai modal kempen mereka.

Ini kerana, katanya, rakyat melihat Dr Halimah berdasarkan rekod perkhidmatan beliau selama ini.

“Apa yang penting, jentera kita yakin boleh menang, semangat itu diperlihatkan dalam semua pilihan raya yang kita sertai dan apa yang lebih penting, kita melakukan kempen untuk beri pemahaman kepada pengundi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS