Paling Popular
Terkini

Dua daripada tiga defendan yang terlibat dalam saman bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan untuk membuat penyelesaian di luar mahkamah.

Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan bekas calon BN pada pilihan raya umum ke-13 bagi parlimen Permatang Pauh Datuk Dr Mazlan Ismail mengusulkan perkara itu di hadapan hakim, kata peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar.

Katanya, seorang lagi defendan, wakil Utusan Melayu (M) Berhad dimintak untuk mendapatkan arahan sama ada berhasrat mengambil keputusan sama.

"Dua defendan membuat cadangan untuk penyelesaian (di luar mahkamah). Pihak kami sudah menghantar cadangan balas, jadi syarat-syarat sedang dalam proses untuk diselesaikan antara kedua-dua defendan pihak kami.

"Defendan ketiga pula menerima arahan sama ada mereka mahu penyelesaian di luar atau tidak. Kami ditetapkan (oleh mahkamah) untuk datang semula Jumaat, dengan harapan mencapai penyelesaian dengan pihak yang bersedia," kata Sangeet kepada pemberita selepas berjumpa dengan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Faizah Jamaluddin hari ini.

Sementara itu, peguam Utusan Azhar Arman Ali berkata beliau diarahkan untuk mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya untuk menentukan pendirian mereka.

Anwar menyaman TV3, Utusan dan Mazlan berhubung kenyataan yang dibuat Mazlan dan dilaporkan oleh dua media berkenaan yang didakwa memfitnah bahawa pemimpin PKR itu merasuah kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Lihat Komen
ADS