Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ARMADA: Naib presiden MCA anti-Melayu
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 2:16 PM
Dikemaskini: 6:21 AM

Pemuda BERSATU (ARMADA) Selangor menuduh Naib Presiden MCA Datuk Chew Mei Fun sebagai anti-Melayu.

Ini susulan gesaannya supaya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, yang juga menteri kewangan, menghentikan satu kongres bumiputera yang dikatakan anjuran kementeriannya.

“Kenyataan ini tidak sepatutnya keluar daripada pimpinan kanan MCA.

“Hal ini menunjukkan naib presiden MCA terdesak dan menunjukkan sikap sebenar MCA yang tidak mempunyai pemikiran waras dan jahil tentang Perlembagaan Negara,” kata Ketua ARMADA Selangor Adhif Syan Abdullah.


Baca: MCA cabar Guan Eng hentikan Kongres Bumiputera


Chew semalam menggesa Lim menghentikan Kongres Bumiputera "jika beliau (Lim) betul-betul peduli tentang perpaduan”.

Kenyataan itu dipercayai merujuk Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) 2018 yang akan diadakan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 1 September depan.

Chew menambah Lim sebagai anggota parlimen dan menteri kewangan harus menumpukan usaha membangunkan negara dan menyelesaikan masalah ekonomi rakyat, bukan memainkan isu perkauman.

Sementara itu, Adhif menyifatkan desakan itu sebagai sangat melampau dan bertentangan dengan semangat perlembagaan.

Dalam kenyataan bertajuk “Naib presiden MCA jahil, anti-Melayu”, Adhif berkata MCA dilihat cenderung kepada sikap anti-melayu dan bumiputera serta seolah-olah memberi petunjuk mereka ingin melihat hak bumiputera dihapuskan.

“Ia juga bukti jelas kegagalan Umno, selepas lebih dari 40 tahun, untuk mendidik MCA tentang kepentingan menjaga hak orang Melayu dan membangunkan ekonomi mereka.

“Lebih aneh lagi apabila PAS pula begitu gembira menyokong serta mempromosikan MCA dalam PRK Balakong,” katanya.

Katanya, MCA lupa bahawa Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan bekas Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, ditubuhkan selepas Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera pada September 2013.

“Tidak pula kelihatan apa-apa halangan, kritikan mahupun komen dari mana-mana pemimpin MCA ketika itu,” katanya.

Kira-kira 30 peratus dari lebih 60,000 pengundi Balakong adalah orang Melayu. Dalam pilihan raya umum lalu Pakatan Harapan menang besar dengan majoriti 35,538 undi.

 

Lihat Komen
ADS