Polis tahan empat samseng remaja jalanan
Empat remaja lelaki ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan samseng jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Ismadi Borhan berkata tangkapan kesemua mereka berumur lingkungan 20-an dibuat setelah pemantauan lebih tiga jam di kawasan lebuh raya berkenaan dan polis telah berjaya merakam dan mengambil aksi-aksi bahaya yang dilakukan suspek.
“Ketika pemantauan, anggota saya mendapati suspek melakukan aksi-aksi bahaya menggunakan empat buah motosikal jenis Honda EX5 yang turut disita.
“Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek memiliki rekod jenayah curi kenderaan sementara ujian saringan air kencing mereka semuanya negatif,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini.
Ismadi berkata kesemua suspek direman selama dua hari bermula semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 42 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Bernama

