Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Batal saman AES: MCA, sila guna otak sebelum cakap, kata menteri
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 3:18 PM
Dikemaskini: 7:46 AM

Menteri Pengangkutan Anthone Loke membidas MCA yang mengkritik keputusannya untuk membatalkan semua saman AES sehingga 31 Ogos.

Loke berkata, masalah berhubung AES berpunca daripada tindakan MCA ketika berada dalam kerajaan.

"Saya boleh menerima kritikan daripada sesiapa kecuali pemimpin MCA kerana mereka adalah orang yang paling hipokrit.

"Bekas Menteri pengangkutan yang juga merupakan pemimpin MCA yang menandatangani perjanjian ini... Hanya orang yang tidak cerdik menandatangani perjanjian ini.

"Jadi guna otak sebelum bercakap, apa yang anda katakan hari ini memberi gambaran yang sangat buruk kepada menteri-menteri MCA," katanya kepada sidang media di Putrajaya hari ini.

Loke berkata demikian sebagai menjawab kritikan daripada Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung Pemuda MCA Leong Kim Soon berhubung tindakan kementerian pengangkutan membatalkan semua saman AES minggu lalu.

AES mula berkuat kuasa ketika pemimpin MCA, Kong Cho Ha menjadi menteri pengangkutan pada 2012.

Jelas Loke, ketika Presiden MCA Liow Tiong Lai mengambil alih portfolio itu pada 2014, Liow juga tidak serius dengan penguatkuasaan dan tidak berusaha mengutip 80 peratus saman itu yang masih tidak berbayar.

"Dua-dua mereka tidak serius dengan perkara ini," katanya.

Tambah Loke, disebabkan perjanjian yang tidak seimbang, kerajaan tidak akan dapat apa-apa daripada saman AES yang dibayar, selepas ia diberi diskaun kepada RM150.

Ini kerana, katanya, perjanjian yang ditandatangani pengendali AES, ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd, dua firma yang berhak ke atas 50 peratus saman AES yang dikutip berdasarkan kadar asal RM300.

"Jadi kalau kita kutip RM150 sekarang, ia hanya akan diambil oleh syarikat berkenaan," katanya.

Kata Loke, kerajaan juga perlu membayar RM16 untuk setiap saman yang dikeluarkan oleh dua syarikat berkenaan tanpa perlu mengambil kira sama ada saman itu dikutip atau tidak.

Kedua-dua syarikat berkenaan, katanya, sudah mengaut RM129 juta daripada dua peringkat perjanjian itu.

Jumlah itu, tambahnya, jauh melebihi kos kesemua 47 kamera AES yang dipasang yang dianggarkan RM250,000 satu kamera, atau RM10 juta kesemuanya.

"Syarikat berkenaan sudah buat untuk yang besar," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS