Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lulus SST bukti BN pembangkang bertanggungjawab - Annuar
Diterbitkan:  Aug 20, 2018 10:27 PM
Dikemaskini: 2:52 PM

Ramai mencadangkan BN menggunakan kuasa majoriti di Dewan Negara untuk menggagalkan usaha Pakatan Harapan (HARAPAN) melaksanakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 September depan, kata Tan Sri Annuar Musa.

Bagaimanapun kata ketua penerangan Umno itu, BN tidak berhasrat menambahkan lagi beban kerajaan selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.

"Jika sebarang 'impasse' atau kekangan berlaku, kerajaan akan mengalami masalah parah akibat kutipan cukai tertangguh.

"Walaupun sesetengah berpendapat itu baik bagi memberi beban kepada HARAPAN yang sudah pun dihimpit 'cashflow problem' akibat daripada tindakan mereka sendiri mensifarkan GST, BN tidak berhasrat menambah bebanan kerajaan," katanya menerusi kenyataan media.

Katanya sebagai pembangkang bertanggungjawab, BN sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan menyokong perkara baik, termasuk usul agar Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendengar semula kes 1MDB.

"BN akan terus berpegang pada kebenaran dan yakin dengannya," katanya yang menambah anggota Dewan Negara dari BN turut diberi kebebasan menggunakan kebijaksanaan mereka.

Dewan Negara yang masih dikuasai BN hari ini meluluskan Rang Undang-undang Jualan 2018, salah satu dari lima rang undang-undang, bagi membolehkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikembalikan.

RUU itu lulus dengan undian suara.

Seramai 32 senator mewakili BN manakala PAS pula diwakili tiga senator daripada keseluruhan 55 anggota Dewan Negara.

SST mudah diseleweng, syarikat lari cukai

Bagaimanapun Annuar Musa menegaskan SST telah diakui sebagai sistem percukaian tidak telus dan tidak cekap berbanding GST.

"Tapi kerajaan berkeras untuk undur ke sistem lama yang telah ditinggalkan oleh hampir semua negara di dunia.

"Pelaksanaannya akan kembali menyebabkan harga naik, cukai mudah diseleweng, syarikat lari cukai dan pengguna tidak dapat menikmati hasil percukaian sebanyak yang dikumpul hasil efisen GST.

"SST tidak akan menurunkan harga barang, tidak seperti yang HARAPAN janjikan.

'Black economy' akan mengasari sistem yang lemah. Akhirnya rakyat yang rugi. Cukai lain pula akan ditambah," katanya.

Beliau berkata BN tidak menggunakan kelebihan suara di Dewan Negara bagi menghalang kerajaan melaksanakan manifesto mereka.

"Kita mahu semua janji ditunaikan dan biarlah rakyat sendiri menilainya," kata beliau.

Lihat Komen
ADS