Polis setakat ini mendapati kehilangan alat Radiografi Perindustrian (RDD) bukan disebabkan faktor pengganas, kata ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

"Siasatan kami terhadap kes itu juga melihat dari sudut unsur keganasan, tetapi setakat ini kami mendapati tiada kaitan dengan keganasan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata polis sedang menyiasat insiden tersebut sebagai kes kecurian di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Siasatan juga merangkumi kemungkinan alat itu dicuri dari kenderaan sebuah syarikat swasta.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Isnaraissah Munirah Majilis ketika dihubungi enggan mengulas sehingga siasatan polis selesai.

Pagi ini, New Straits Times (NST) melaporkan alat seberat 23 kilogram itu hilang sejak 10 Ogos lalu dan polis serta Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) sedang berusaha mengesannya.

Alat yang mengandungi isotop radioaktif iaitu Iridium 192 itu boleh memancarkan radiasi Beta dan Gamma serta dikhuatiri disalah guna termasuk oleh pengganas bagi membuat bom.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata ini bukan kejadian kali pertama kehilangan peralatan tersebut kerana kes sama pernah dilaporkan tahun lepas.

“Kejadian seperti ini bukanlah kali pertama berlaku dan difahamkan pernah berlaku pada tahun lepas. Bagaimanapun, tiada mana-mana pihak tampil untuk memaklumkan telah menemui alat berkenaan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Gotong-Rotong Mega 1.0 Perangi Aedes Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berhubung kehilangan alat berharga kira-kira RM75,000 milik sebuah syarikat di Shah Alam itu.

Alat berkenaan dilaporkan hilang ketika dibawa pulang oleh dua juruteknik sebuah syarikat dari Seremban ke Shah Alam antara jam 2 pagi hingga 3 pagi pada 10 Ogos lepas.

Mohamad Fuzi turut mengesahkan dua pekerja syarikat tersebut telah ditahan reman sehari selepas kejadian namun telah dibebaskan pada Jumaat lepas selepas kenyataan kedua-dua individu warga tempatan itu selesai direkod.