Menteri jumpa buskers OKU selepas Aidiladha
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad akan bertemu kumpulan sebuah kumpulan ‘buskers’ kurang upaya yang alat muzik mereka disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu operasi penguatkuasaan sekitar Bukit Bintang di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Khalid berkata pertemuan berkenaan akan diadakan selepas Hari Raya Aidiladha ini bagi mencari jalan penyelesaian.
“Saya akan berjumpa dengan kumpulan tersebut selepas Hari Raya Aidiladha ini bagi mencari jalan penyelesaian. Kalau masih berdegil, jangan marah jika kami tempatkan mereka di kawasan yang tidak menjadi tumpuan.
“DBKL tidak akan bertindak sesuka hati. Tindakan ini berikutan sudah banyak kali aduan diterima daripada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau projek River of Life di Masjid India, Kuala Lumpur, semalam.
Sebelum ini, tindakan sita alat muzik kumpulan ‘buskers’ kurang upaya itu menjadi tular di media sosial dan warga maya mencemuh tindakan kerajaan itu.
Menurut Khalid, tindakan DBKL itu perlu diambil bagi menjaga ketenteraman dan tidak menganggu orang ramai di kawasan pusat bandar.
Sehubungan dengan kejadian itu, DBKL turut mengumumkan bahawa penggunaan alat muzik drum dan alat siaraya oleh ‘buskers’ sekitar ibu negara adalah dilarang berkuatkuasa serta merta.
Timbalan Pengarah Kanan Penguatkuasa DBKL, Osman Ismail berkata, larangan tersebut telah dimaklumkan melalui notis peringatan yang dikeluarkan pada awal bulan ini kepada kumpulan pemuzik berdaftar dan memiliki permit untuk dipatuhi.
Katanya, tindakan penguatkuasaan hanya dilakukan selepas tempoh dua minggu notis dikeluarkan bagi memberi peluang kepada mereka mematuhi syarat-syarat yang terkandung dalam permit penghibur jalanan.
Selain itu, DBKL mensyaratkan peraturan pemakaian tag permit sewaktu ‘busking’ termasuk mematuhi lokasi dan had waktu persembahan muzik jalanan yang telah ditetapkan.
Sementara itu, Khalid juga dilaporkan berkata penjaja-penjaja di sekitar Wisma Yakin akan dipindahkan ke Lanai Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), menjelang 2020.
Katanya, kerajaan bakal membangunkan sebuah bangunan tiga tingkat yang mampu menempatkan lebih 180 penjaja.
"Kita tidak boleh mengekalkan keadaan penjaja-penjaja di depan Wisma Yakin dalam keadaan seperti yang adanya hari ini.
"Ini kerana, jika dilihat kepada kedudukan penjaja ini, mereka menutup jalan masuk ke Wisma Yakin dan juga bangunan-bangunan berhampiran seterusnya menimbulkan masalah bagi mereka yang telah membuka kedai di situ," katanya pada pemberita selepas melawat tapak projek River of Life (RoL), di sekitar ibu kota, semalam.
Menurut Khalid, bangunan itu akan dibina pada awal tahun hadapan dan siap menjelang tahun 2020.
"Antara kemudahan yang disediakan adalah seperti medan selera, eskalator dan laluan bersambung di antara bangunan," katanya sambil menambah hanya penjaja yang sah dan berlesen akan ditempatkan di Lanai Seni.
Mengenai projek RoL, Khalid berkata, pelaksanaannya sudah mencapai lebih 80 peratus namun masyarakat diharap lebih prihatin dan memberikan kerjasama dengan menghentikan budaya menggunakan sungai dan perparitan sebagai tong sampah mereka.

