Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa benda di langit Sabah malam tadi? Meteor?
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 11:59 AM
Dikemaskini: 4:00 AM

Sabah digemparkan dengan kemunculan cahaya terang yang meluncur di langitnya malam semalam, yang disangka banyak pihak sebagai meteor atau tahi bintang.

Ia dikesan kira-kira 11.30 malam selepas mengeluarkan bunyi letupan yang boleh didengar di beberapa daerah, iaitu Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, Ranau, Tuaran dan Kota Kinabalu.

Gambar dan video kejadian itu kini membanjiri laman sosial.

Seorang guru sekolah Lojumin Galapan, 52, mengaku melihat cahaya terang di langit ketika sedang berehat di beranda rumahnya di Kampung Marak-Parak, Kota Marudu.

“Sekejap saja ia hilang,” katanya kepada New Straits Times.

Bomba Sabah pula berkata mereka tidak menerima sebarang panggilan susulan perkara itu.

Selain itu, ada juga mengaitkan kejadian berkenaan dengan latihan tentera di Kem Paradise, Kota Belud.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud ketika ditanya sama objek itu adalah tahi bintang, berkata perkara itu mungkin berlaku.

Bagaimanapun, katanya, kalau benar pun meteor, ia susah dikesan.

“Boleh jadi juga, letupan itu kemungkinan terhasil daripada meteor yang terbakar ketika memasuki di ruang angkasa.

“Ini kerana meteor atau tahi bintang adalah cahaya terang yang kelihatan melintasi langit malam dengan begitu pantas dan secara tiba-tiba.

“Ia biasanya adalah habuk dan debu yang terbakar apabila memasuki dalam atmosfera bumi.

“Namun meteor yang besar boleh membunuh juga dan meteorit ialah nama serpihan batuan yang mungkin jatuh atas bumi,” beliau dipetik sebagai berkata.

Beliau berkata, maklumat awal juga menunjukkan tiada ribut petir lewat malam tadi, lapor Berita Harian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS