Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Halimah lepas jawatan lembaga pengarah PPAS
Diterbitkan:  Aug 21, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

PRK SERI SETIA | Selepas dipertikaikan kedudukannya bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Dr Halimah Ali hari ini melepaskan jawatannya.

Peletakan jawatan itu dibuat melalui sepucuk surat kepada Pengerusi Lembaga Pengarah PPAS di Seksyen 13 Shah Alam.

Berdasarkan surat itu yang dimuat naik di Facebook Dr Halimah, peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 18 Ogos lalu.

Bagaimanapun imej yang dimuat naik di media sosial berkenaan hanya menampakkan sebahagian saja kandungan surat berkenaan.

Isu berkenaan menarik perhatian ramai sejak 20 Ogos lalu apabila seorang pemimpin Pemuda PKR mempertikaikan pembabitan Dr Halimah mencabar kerajaan negeri ketika dia masih menjadi sebahagian daripada lembaga pengarah PPAS milik Selangor.

Menurut Penolong Setiausaha Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, Dr Halimah sepatutnya melepaskan jawatan berkenaan kerana memilih untuk menentang kerajaan Selangor.

Untuk rekod Dr Halimah pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri ketika PAS masih bersama PKR dan DAP selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Bagaimanapun nama Dr Halimah diketepikan daripada barisan exco Selangor pada Sept 2014.

Menjelang PRU ke-14 PAS memutuskan hubungan politik mereka dengan PKR namun kekal menjadi exco negeri. Selepas 9 Mei PAS - yang menjadi pembangkang - hanya mempunyai seorang wakil dalam dewan undangan negeri.

Pada PRK Seri Setia ini PAS meletakkan Dr Halimah sebagai calon pembangkang dan parti itu turut mendapat sokongan penuh daripada Umno.

PAS juga memberikan 'restu' kepada penyokong mereka untuk mengundi calon MCA yang mewakili pembangkang dalam PRK Balakong. Kedua-dua PRK berkenaan akan diadakan serentak pada 8 Sept ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata Dr Halimah perlu meletakkan jawatan yang masih dipegang dalam kerajaan negeri berdasarkan pertimbangan moral.

"Secara asas moral, dia kena letak jawatan. Kalau dia nak letak (jawatan) esok boleh, lusa pun boleh, sehinggalah saya buat keputusan," katanya.

Lihat Komen
ADS