Tiada yang pasti, keluar mengundi, rayu calon DAP
PRK BALAKONG l Calon DAP untuk pilihan raya kecil Balakong, Wong Siew Ki menggesa para pengundi agar tidak memandang mudah terhadap pilihan raya kecil pada 8 September ini.
Bercakap di pasar pagi di Kampung Baru Batu 11, hari ini, beliau merayu kepada orang ramai agar menunjukkan sokongan mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan dengan mengundi untuknya.
“Gembira sebab memang ramai orang di sini,.. semua penduduk di sini nampak sangat sambut kedatangan kita. Saya rasa ini satu suasana yang sangat gembira dan bagus.
“Memang kita yakin dengan sokongan penduduk di sini, akan dapat keputusan yang sangat cantik.
“Minta semua penduduk dan pengundi sila keluar undi pada 8 September untuk menunjukkan sokongan dan pilihan terhadap Pakatan Harapan,” kata Wong dari atas sebuah trak yang dihiasi dengan bendera HARAPAN.
Pada pilihan raya umum ke-14, Eddie Ng dari DAP memenangi kerusi itu dengan majoriti 35,538. Dalam pertandingan tiga penjuru itu, beliau mengalahkan calon MCA dan PAS. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Ng dalam stu nahas jalan raya pada 20 Julai lalu.
Pada PRK kali ini, Wong akan berdepan dengan calon MCA, Tan Chee Teong manakala PAS tidak meletakkan sebarang calon tetapi sepakat meminta penyokongnya mengundi BN.
Hadir bersama dalam kempen DAP hari ini adalah veteran DAP Lim Kit Siang.
Ditanya wartawan selepas itu jika beliau bimbang dengan peratusan kecil yang keluar mengundi seperti semasa pilihan raya kecil Sungai Kandis baru-baru ini, Lim berkata beliau berharap pengundi akan tampil dan menunjukkan sokongan mereka kepada "Malaysia Baru".
“Ini kita pun khuatir, oleh kerana lebih 85 peratus pengundi keluar pada PRU 2014, dalam PRK mereka mungkin (fikir) kita tentu akan menang dan tak keluar undi.
“Mesej saya bahawa PRK ini mustahak bukan hanya untuk Balakong tetapi untuk Malaysia.
“Kalau kita mahu semangat 509 (9 Mei) diteruskan, Malaysia Baru dibina, untuk masa depan anak cucu kita. Bukan sahaja boleh menang tapi menang dengan lebih besar daripada PRU14,” katanya.
Beliau berkata sokongan orang ramai juga adalah satu penghargaan buat mendiang Ng.
“Setiap undi ialah undi untuk pengundi menunjukkan penghargaan kepada Eddie Ng, seorang wakil rakyat yang begitu tekun dan bertanggungjawab,” kata Lim.
Pilihanraya kecil Sungai Kandis awal bulan ini menyaksikan jumlah keluar mengundi yang kecil iaitu hanya pada kadar 49.8 peratus. Ini mendorong para pemimpin Umno melabelkannya sebagai tanda protes terhadap kerajaan HARAPAN.

