Gara-gara mengintai, warga Indonesia maut dipercayai dipukul
Seorang lelaki warga Indonesia maut dipercayai akibat dipukul selepas disyaki mengintai di Kampung Orang Asli Baru, Sungai Lalang Semenyih, dekat Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata lelaki yang mengalami kecederaan di bahagian kepala itu meninggal dunia 9.15 pagi semalam selepas menerima rawatan selama 12 hari di Hospital Kajang.
Menurutnya hasil siasatan mendapati pada 11 Ogos lepas, lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai melarikan diri selepas disedari sedang mengintai di sebuah rumah di kampung terbabit.
“Bagaimanapun lelaki itu ditangkap oleh penduduk kampung dan berlaku pergelutan sebelum dia dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan teruk di kepala, selain terdapat kecederaan dalaman,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Ahmad Dzaffir berkata susulan itu, polis telah menahan seorang lelaki berusia 20-an di kampung yang sama bagi membantu siasatan.
Katanya suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Ogos ini bagi membantu siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
- Bernama

