'Pemilik' Equanimity dakwa belum terima notis jualan segera
Equanimity (Caymans) Ltd, syarikat yang memiliki kapal mewah yang dikaitkan dengan 1MDB mengatakan ia belum menerima sebarang notis pendengaran mahkamah yang dijadualkan pada petang ini bagi jualan segera kapal itu.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata jualan segera juga melanggar undang-undang antarabangsa, memandangkan pemilikan kapal layar itu masih dicabar di mahkamah Amerika Syarikat.
"Untuk mengadakan jualan di Malaysia dengan segera akan menjadi satu pelanggaran yang luar biasa terhadap proses yang sewajarnya dan pematuhan undang-undang antarabangsa, dan akan menimbulkan persoalan pemilikan sebenar kapal layar bagi mana-mana pembeli berpotensi.
"Tindakan yang salah ini akan menyukarkan ke atas pemilikan Equanimity yang boleh memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan di beberapa mahkamah di seluruh dunia," kata firma berpangkalan di Caribbean itu.
Jualan bagi kapal layar itu dipohon oleh 1MDB dan akan didengar di Mahkamah Admiralty Kuala Lumpur jam 2.30 petang.
Dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini semalam menunjukkan bahawa writ saman telah dikeluarkan kepada Equanimity (Caymans) Ltd pada 6 Ogos tetapi tidak diketahui jika firma yang berpangkalan di Caribbean itu telah menerima notis itu.
Equanimity dipercayai telah dibeli dan dimiliki oleh ahli perniagaan yang kini sedang diburu, Jho Low dengan menggunakan dana 1MDB yang disalahgunakan.
1MDB telah memohon untuk menjual Equanimity dengan segera bagi mengekalkan nilainya kerana kapal itu dikatakan merosot secara fizikal akibat terdedah kepada cuaca dan air laut. Equanimity (Caymans) Ltd menyalahkan Putrajaya kerana membiarkan keadaan kapal tersebut.
"Kerana tindakan kerajaan tergesa-gesa, tidak dirancang dengan teliti dan tidak bijak, janakuasa kapal layar itu beroperasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, yang tidak lestari dan memudaratkan kapal itu.
"Lebih-lebih lagi, Malaysia pada masa ini telah mengendalikan kapal layar itu dalam persekitaran yang berbahaya di mana toksin seperti pencemaran air dan asap yang berdekatan sangat merosakkannya.
"Kerana Malaysia nampaknya tidak mempunyai - atau tidak mahu membelanjakan - dana yang diperlukan untuk menjaga kapal itu dengan betul sementara menunggu jualan bagi memaksimumkan nilainya.
"Malaysia sebaliknya mencadangkan "jualan segera" yang mana kapal layar itu dijual dengan sebahagian daripada nilai sebenarnya, "katanya.
Sejak 7 Ogos, Equanimity telah berlabuh di Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang.
.

