Musa Aman dijadual angkat sumpah petang ini
Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dijadualkan mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga petang ini.
Portal Utusan Malaysia yang memetik Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Syed Abas Syed Ali sebagai berkata, persediaan telah dibuat di pejabatnya untuk mengadakan upacara tersebut.
Katanya, pihak Musa telah memaklumkan untuk hadir, namun beliau tidak dapat mengesahkan lebih lanjut.
“Ya, kami buat persediaan seperti biasa kalau beliau hadir maka kita teruskan.
“Kami tidak tahu sama ada dia akan datang tetapi sudah dijanjikan hari ini, kalau tidak hadir kita buat lain kali,” katanya yang dipetik oleh portal itu.
Musa kembali Selasa lalu selepas meninggalkan negara ini pada 16 Mei lalu berikutan laporan polis yang dibuat oleh oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kerana melakukan kerana melakukan ugutan jenayah.
Beliau turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan menyogok Anggota Dewan Undangan Negeri.
Musa mempunyai tempoh sehingga 11 September depan untuk mengangkat sumpah, jika gagal kerusi yang dimenanginya akan terbatal.
Walau bagaimanapun, bekas setiausaha politiknya, Mohd Joh Wid, sebelum ini berkata Musa sedang mendapat rawatan di Hospital Clementine Chirchill, London. Beliau juga mendedahkan bekas ketua menteri itu pernah melakukan beberapa prosedur rawatan pembedahan pintasan jantung.
Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din mengesahkan bekas ketua menteri itu yang masih berada di sebuah hospital di ibu negara telah ditahan.

