Loke: Keputusan LTAT ambil alih projek AES silap
Kerajaan hanya akan membayar Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) modal RM555 juta yang dilaburkan untuk mengambil alih AES, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Loke juga berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengkaji semula angka bayaran balik itu kerana "ia adalah keputusan yang silap yang dibuat LTAT (untuk melabur dalam AES)," merujuk kepada keputusan lembaga untuk mengambil alih dua syarikat konsesi projek AES - ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.
"Baggi pihak kerajaan, pendirian kami adalah kerajaan hanya akan membayar RM555 juta.
"Sudah tentu mereka fikir akan ada keuntungan, dan pengerusi sekarang cuba untuk mewajarkan bahawa ia suatu pelaburan yang baik. Itu adalah tertakluk kepada para anggota LTAT untuk menilai," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Loke mengulas bekas Pengerusi LTAT, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor yang berkata kerajaan perlu membayar LTAT kesemua 'hutang' terhadap lembaga itu dalam pengambilalihan AES termasuklah faedah tahunan sebanyak 12 peratus.

