Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Kertas siasatan kes Musa Aman diserah ke pendakwa raya Isnin ini

Polis dijangka menyerahkan kertas siasatan melibatkan Tan Sri Musa Aman berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada Isnin ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah menahan Musa semalam bagi membantu siasatan itu namun dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

“Beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi memberi jaminan siasatan ke atas Musa dijalankan secara telus dan adil mengikut undang-undang.

Semalam, dilaporkan Musa yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga, yang sedang menjalani rawatan kesihatan di sebuah hospital di sekitar Lembah Klang, ditahan polis pada 10 pagi.

Turut dilaporkan Majistret Petaling Jaya semalam menolak permohonan polis untuk menahan reman Musa mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Musa yang meninggalkan negara ini pada 16 Mei dilapor mendapatkan rawatan di London, pulang ke tanah air dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 6.45 petang Selasa, dari Seletar, Singapura.

Bekas ketua menteri Sabah itu dikehendaki polis berhubung dakwaan ugutan jenayah terhadap Juhar pada majlis angkat sumpah 10 Mei lepas.

Musa turut disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan menyogok Anggota Dewan Undangan Negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS