Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apa skop liputan dan kadar SST untuk ICT, soal PIKOM

Persatuan ICT Kebangsaan Malaysia (PIKOM) mahu negara terus memanfaatkan teknologi baharu untuk membolehkannya menjadi kuasa ekonomi digital yang berdaya saing.

Persatuan itu dalam Unjuran Pasaran Pekerjaan di Malaysia 2018, berkata penekanan harus diberikan bagi merapatkan jurang digital dan memperkasakan sektor tersebut dengan inisiatif bagi mengekalkan Malaysia sebagai peneraju revolusi teknologi global.

"PIKOM berharap kerajaan sekarang akan memberi tumpuan kepada ekonomi Internet memandangkan ia akan menjadi industri yang paling pesat berkembang di rantau ini dengan catatan pertumbuhan terbesar," katanya.

Ia meramalkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) akan terus merekodkan pengembangan dua digit lebih tinggi pada tahun ini dengan e-dagang memainkan peranan yang lebih besar.

Kerajaan juga perlu menggandakan usaha bagi merangsang penyertaan rakyat tempatan dalam sektor ini untuk memastikan bahawa perusahaan kecil dan sederhana boleh mengambil bahagian dalam pertumbuhan itu.

Persatuan mahu bekerjasama dengan kerajaan, agensi-agensi berkaitan termasuk pihak yang berkepentingan dalam ekonomi digital Malaysia yang sedang bergerak pesat ke arah 2020 dan seterusnya.

Sementara itu, PIKOM menjangkakan perbelanjaan pengguna dan korporat akan berkurangan selepas Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) diperkenalkan semula menjelang 1 September dan sehingga sekurang-kurangnya pada penghujung tahun ini, memandangkan mereka akan mengambil sikap tunggu dan lihat berikutan ketidaktentuan dalam rangka kerja cukai seperti kadar serta skop liputan.

"Persoalan utama yang ditanya adalah kadar bagaimana yang akan dipakai bagi pelbagai jenis barangan dan apakah skop liputan kali ini menyamai dengan SST dahulu, termasuk impak perubahan dalam peraturan-peraturan perakaunan.

"Berdasarkan ini, PIKOM tidak terlalu yakin pertumbuhan keluaran dalam negara kasar bagi suku keempat akan melonjak tinggi dan pertumbuhan ekonomi akan dapat mencecah 4.5 peratus daripada 4.3 peratus," katanya lagi.

PIKOM, bagaimanapun, bersetuju dengan pandangan pakar-pakar ekonomi serta penganalisis yang berpendapat perkembangan ekonomi, politik dan sosial Malaysia selepas pilihan raya umum ke-14, yang melihat negara ini mampu menangani "kepayahan" jangka pendek kepada jangka sederhana untuk merealisasikan keuntungan jangka panjang.

Kesan penuh daripada perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan baharu mungkin akan terlihat lebih lewat, mungkin dalam tempoh masa setahun, katanya.

PIKOM menjangkakan ekonomi Malaysia untuk keseluruhan tahun, akan tumbuh kira-kira 4.8 peratus, tetapi mungkin akan menunjukkan pecutan menjelang akhir 2019 atau awal 2020.

Jangkaan itu dibuat tanpa mengambil kira faktor global yang besar yang mampu menjejaskan ekonomi serta jika perlaksanaan manifesto kerajaan tidak berhadapan dengan banyak halangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS